Apr 28, 2008

Parti Maju Sabah (SAPP); Parti Pertama Keluar Dari BN?

Desas desus bahawa 30 ahli parlimen sabah dan sarawak terutama SAPP akan keluar parti mula kedengan selepas Utusan Malaysia menyiarkan kenyataan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP)Datuk Yong Teck Lee (berita dari utusan malaysia dikepilkan di bawah ini).

Apa tindakan Presiden BN?

Dipetik dari :www.utusan.com.my

SAPP cadang Sabah dapatkan 'autonomi politik'

KOTA KINABALU 27 April - Sabah harus segera mengambil peluang daripada kemenangan besar Barisan Nasional (BN) negeri ini pada pilihan raya lalu untuk mendapatkan 'autonomi politik' dengan penstrukturan semula sistem politik BN.

Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee berkata, tsunami politik di Semenanjung telah menimbulkan pandangan baru bahawa sistem politik BN di semua negeri harus distruktur semula.

"Selepas pilihan raya kita sudah mula melihat bagaimana cara pelantikan Menteri Besar Perlis dan Terengganu. Memandangkan Sabah dan Sarawak adalah deposit tetap, kita lihat keadaan itu satu peluang yang telah membuka tingkap.

"Jadi kita harus bertindak segera sementara tingkap masih terbuka kerana jika tingkap itu tutup ia akan tertutup dengan cepat, kita tidak tahu masanya yang tepat. Tugas sebagai parti politik kami mahu memastikan terdapat perubahan besar semasa tingkap masih terbuka," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di majlis Kongres Persidangan Perwakilan SAPP Ke-13 di Putera Theatre Ballroom di sini hari ini yang dirasmikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman.

Menurutnya, penilaian semula struktur politik BN pada masa ini adalah subjek terbuka yang disuarakan oleh ramai pemimpin.

Katanya, perspektif SAPP ialah supaya kerajaan BN Pusat memberi autonomi politik kepada negeri-negeri.

"Subjek menilai semula struktur BN bukan perkara baru, Semua orang bercakap perkara ini, mereka bercakap mengenai penjenamaan semula BN dan penstrukturan semula BN bagi memperkuatkannya dengan pelbagai cara," katanya.

Katanya, pelantikan Menteri Besar Perlis dan Terengganu menunjukkan bahawa autonomi harus diberi kepada negeri dalam pelantikan jawatan itu.

Dalam pada itu, katanya, penglibatan rakyat Sabah dalam kerajaan Pusat juga harus dipertingkatkan dan diberi peranan yang lebih penting.

Justeru, beliau berharap banyak perkara yang disuarakan semasa pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini, dapat diselesaikan segera.

"Kami tidak kata 100 peratus perkara harus dilakukan dalam beberapa bulan tetapi kemajuan dan tindakan mesti bermula, undang-undang harus didraf dan sebagainya, kerana hendak membawa satu rang undang-undang ke Parlimen akan memakan masa," tegasnya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai tindakan beberapa bahagian SAPP mengusulkan parti itu keluar daripada BN, beliau berkata, pihaknya belum menerima usul rasmi mengenai perkara itu daripada mana-mana bahagian.

"Kita tidak ada terima usul secara rasmi daripada mana-mana bahagian mengenai perkara ini, bagaimanapun saya akan dengar jika ada bahagian hendak membawa isu ini dalam kongres.

"Dalam mesyuarat perwakilan, itu perkara biasa. Apa-apa pun boleh dibawa tetapi kita belum ada keputusan yang muktamad," ujarnya.


www.rencahmalaysia.blogspot.com

0 Responses: