Apr 21, 2008

Bahagian Pertama: usul pindaan perkara 121







Tuan Yang di-Pertua,

Saya mohon mencadangkan iaitu Rang
Undang-Undang bernama suatu Akta untuk meminda
Perlembagaan Persekutuan dibacakan kali yang kedua sekarang.

Tuan Yang di-Pertua,

2. Semenjak beberapa waktu yang lalu, Kerajaan telah
mendapati bahawa beberapa Perkara di dalam Perlembagaan
menghalang perjalanan licin jentera pentadbiran. Selain
daripada itu, adalah didapati juga bahawa beberapa pindaan
perlu dibuat untuk mengemaskini dan menyelaraskan
pentadbiran bagi meningkatkan lagi efisiensi pentadbiran.
Oleh yang demikian, Kerajaan bercadang untuk meminda
beberapa Perkara di dalam Perlembagaan Persekutuan seperti
berikut: PERKARA 5 _________

3. Fasal (4) Perkara 5 memberi perlindungan kepada
orang-orang yang kena tangkap, dengan mensyaratkan bahawa
mereka hendaklah dibawa ke hadapan majistret dalam tempoh 24
jam dan tidak boleh ditahan selanjutnya tanpa kebenaran
majistret. Menurut proviso kepada Fasal itu, perlindungan
ini tidak diberi kepada orang-orang yang ditangkap atau
ditahan di bawah undang-undang mengenai kediaman terhad
(restricted residence).

4. Dari pengalaman dalam menguruskan kes-kes orang-orang
yang memasuki negara ini secara haram, Kerajaan mendapati
bahawa adalah sukar hendak membawa mereka ke hadapan
majistret dalam tempoh 24 jam sebagaimana disyaratkan oleh
Fasal (4) itu. Oleh kerana mereka ini adalah rakyat negara
asing, banyak perkara yang perlu diuruskan dalam memproses
kes mereka sebelum pihak Kerajaan dapat bersedia untuk
membawa mereka ke hadapan majistret. Identiti dan
latarbelakang mereka perlu disiasat dan dipastikan dahulu,
dan juga sebab-sebab dan tujuan mereka masuk ke negara ini.
Kerapkali mereka datang beramai-ramai pada satu ketika. Ini
semua menyebabkan pengendalian kes mereka terpaksa mengambil
masa.

5. Kerajaan berpendapat bahawa orang-orang ini tidak dapat
diberi perlindungan yang begitu istimewa seperti yang diberi
oleh Fasal (4) sekarang ini. Mereka datang dengan
tiba-tiba. Pegawai-pegawai kita tidak dapat maklumat dan
butiran yang cukup untuk membolehkan mereka dibawa ke
hadapan majistret dalam tempoh 24 jam.

6. Fasal 2 Rang Undang-Undang ini mencadangkan supaya
dimasukkan dua lagi proviso tambahan kepada Fasal (4)
Perkara 5. Atas sebab-sebab yang saya nyatakan tadi,
proviso tambahan pertama bertujuan mengubahsuai syarat Fasal
(4) itu supaya, dalam hal orang-orang yang bukan warganegara
yang ditangkap di bawah undang-undang mengenai imigeresen,
tempoh untuk membawa mereka ke hadapan majistret ialah empat
belas hari dan bukan 24 jam.

7. Oleh kerana Fasal (4) mensyaratkan orang-orang yang
kena tangkap dibawa ke hadapan majistret, maka orang-orang
yang ditangkap kerana kesalahan-kesalahan di bawah bidang
kuasa mahkamah Syariah kenalah juga dibawa ke hadapan
majistret. Keperluan ini adalah tidak sesuai bagi kes-kes
yang bakal dihadapkan ke mahkamah Syariah, dan akan
menjejaskan kelicinan pengurusan kes-kes seperti itu.

8. Oleh sebab itu, adalah perlu diadakan proviso tambahan
kedua di bawah Fasal 2 Rang Undang-Undang ini, yang
bermaksud bahawa, untuk mematuhi Fasal (4) dalam hal
orang-orang yang ditangkap kerana kesalahan yang boleh
dibicarakan oleh mahkamah Syariah, mereka boleh juga dibawa
ke hadapan hakim mahkamah Syariah dan penahanan mereka
selanjutnya bolehlah juga dibenarkan oleh hakim mahkamah
Syariah. Ingin saya menjelaskan bahawa ini tidaklah
bermakna orang-orang itu tidak boleh dibawa ke hadapan
majistret. Sekiranya didapati sukar membawa orang-orang
yang ditangkap ke hadapan hakim Mahkamah Syariah di sesuatu
tempat kerana tidak ada hakim Mahkamah Syariah, misalnya,
orang-orang itu masih boleh dibawa ke hadapan majistret.
PERKARA 83 _________

9. Perkara 83 memberi kuasa kepada Kerajaan Persekutuan
untuk meminta Kerajaan Negeri memberikan kepadanya apa-apa
tanah dalam Negeri yang berkenaan yang dikehendaki untuk
maksud-maksud persekutuan, dan mewajibkan Negeri untuk
memberikan tanah yang diminta itu. Hak Kerajaan Persekutuan
dan kewajipan Kerajaan Negeri di bawah Perkara 83 berbangkit
hanya apabila tanah diperlukan bagi 'maksud-maksud
persekutuan'.

10. Ada kemungkinan akan timbul keadaan-keadaan di mana
akan menguntungkan kedua-dua Kerajaan Negeri dan Kerajaan
Persekutuan sekiranya Kerajaan Negeri boleh memberikan tanah
kepada Kerajaan Persekutuan, atas syarat-syarat yang
dipersetujui di antara mereka, tanpa tertakluk kepada
formaliti membuat permintaan di bawah Perkara 83 walaupun
tanah itu mungkin tidak diperlukan pada masa itu untuk
maksud-maksud persekutuan. Perkiraan seperti ini tidak
diperuntukkan dengan nyata dalam Perkara 83 itu.

11. Fasal 3 Rang Undang-Undang ini mencadangkan supaya
Perkara 83 itu dipinda dengan memasukkan Fasal baru (8) yang
menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri boleh memberi tanah
kepada Kerajaan Persekutuan, atas syarat-syarat yang
dipersetujui bersama, tanpa Kerajaan Persekutuan membuat
permintaan formal atas kuasanya di bawah Perkara itu.
PERKARA 84 __________

12. Perkara ini memperkatakan tentang keadaannya apabila
tanah yang terletakhak pada Persekutuan atau pihak berkuasa
awam tidak lagi dikehendaki untuk maksud-maksud persekutuan.
Dalam keadaan begini, tanah itu mestilah berbalik kepada
Negeri, dengan syarat Kerajaan Negeri bersetuju membayar
kepada Persekutuan amaun-amaun yang ditetapkan di dalam
Fasal (1) Perkara itu. Jika Kerajaan Negeri tidak bersetuju
membuat bayaran, maka tanah itu tidak akan berbalik kepada
Negeri, dan Kerajaan Persekutuan atau pihak berkuasa awam
akan bebas menjual tanah itu.

13. Pelaksanaan dasar penswastaan Kerajaan Persekutuan
mungkin melibatkan tanah-tanah yang dipegang untuk
maksud-maksud persekutuan oleh Kerajaan Persekutuan atau
pihak berkuasa awam diuruskan dengan cara yang mungkin
menimbulkan anggapan bahawa tanah-tanah itu telah terhenti
diperlukan untuk maksud-maksud persekutuan. Syarat Perkara
84 bahawa tanah yang tidak diperlukan untuk maksud-maksud
persekutuan mestilah berbalik kepada Negeri akan menyekat
atau menyulitkan pelaksanaan dasar penswastaan Kerajaan
Persekutuan.

14. Fasal 4 Rang Undang-Undang ini mencadangkan supaya
Perkara 84 itu dimansuhkan untuk menghapuskan tanggungjawab
Kerajaan Persekutuan untuk menawarkan balik kepada Kerajaan
Negeri tanah-tanah yang tidak lagi diperlukan untuk
maksud-maksud persekutuan, supaya Kerajaan Persekutuan atau
pihak berkuasa awam yang berkenaan akan kekal memiliki
tanah-tanah itu, walaupun ia tidak lagi diperlukan untuk
maksud-maksud persekutuan.
PERKARA 85 __________

15. Perkara 85 mengawal tanah-tanah yang dirizabkan untuk
maksud-maksud persekutuan. Jika tanah-tanah itu tidak lagi
diperlukan untuk maksud-maksud persekutuan, Kerajaan
Persekutuan diwajib melepaskannya balik kepada Negeri jika
Negeri membayar kepada Persekutuan pampasan yang ditetapkan
dalam Fasal (1) Perkara itu. Jika Kerajaan Negeri tidak
bersetuju menerima tawaran yang dibuat oleh Kerajaan
Persekutuan itu, Kerajaan Negeri diwajib, jika diminta,
memberikan tanah itu kepada Kerajaan Persekutuan secara
kekal tanpa had tentang kegunaannya, dengan syarat Kerajaan
Persekutuan membayar premium dan sebagainya, dan selepas itu
Kerajaan Persekutuan bebas melupuskan tanah itu.

16. Tanah-tanah rizab mungkin terlibat juga dalam
pelaksanaan dasar penswastaan Kerajaan Persekutuan. Dalam
melaksanakan dasar itu, tanah-tanah rizab mungkin akan
diuruskan dengan cara yang akan dianggap bahawa tanah-tanah
itu tidak lagi diperlukan untuk maksud-maksud persekutuan.

17. Syarat yang dikenakan oleh Perkara 85 bahawa tanah itu
hendaklah ditawarkan balik kepada Kerajaan Negeri akan
menyekat atau menyulitkan pelaksanaan dasar penswastaan.

18. Fasal 5 Rang Undang-Undang ini mencadangkan supaya
Perkara 85 itu digantikan dengan Perkara 85 yang baru. Di
bawah peruntukan baru itu, Kerajaan Persekutuan berhak
meminta Kerajaan Negeri supaya memberi milik tanah-tanah
rizab persekutuan kepada Kerajaan Persekutuan, dengan syarat
Kerajaan Persekutuan membayar nilai pasaran bagi tanah-tanah
itu, setelah ditolak nilai pasaran bagi apa-apa pemajuan
yang dibuat semasa tanah-tanah itu digunakan untuk
maksud-maksud persekutuan, dan juga apa-apa bayaran yang
telah dibuat oleh Kerajaan Persekutuan pada mulanya untuk
membolehkan Kerajaan Negeri mengambil balik tanah-tanah itu
untuk dirizabkan. Di bawah Perkara 85 yang baru itu
Kerajaan Persekutuan tidak lagi berkewajipan melepaskan
kepada Negeri tanah-tanah rizab yang tidak lagi diperlukan
untuk maksud-maksud persekutuan, tetapi ia boleh berbuat
demikian di bawah Fasal (3), asalkan Kerajaan Negeri
membayar balik nilai pasaran bagi pemajuan-pemajuan dan kos
pengambilan balik tanah sebagaimana yang tersebut tadi.

19. Tentang tanah-tanah yang terus dirizabkan untuk
maksud-maksud persekutuan, Fasal (4) dalam Perkara 85 yang
baru itu memberi kuasa yang luas kepada Kerajaan Persekutuan
terhadap penggunaannya. Kerajaan Persekutuan boleh
memberikan kepada mana-mana orang, hak untuk menggunakan
tanah itu bagi maksud-maksud persekutuan atau bagi
maksud-maksud sampingan, dan jika Kerajaan Persekutuan tidak
dapat menggunakan tanah itu buat sementara waktu untuk
maksud persekutuan, Kerajaan Persekutuan boleh memberi
kepada mana-mana orang, hak untuk menggunakannya bagi
apa-apa maksud selain daripada maksud persekutuan, bagi
tempoh dan dengan syarat-syarat sebagaimana yang ditetapkan
oleh Kerajaan Persekutuan.
PERKARA 86 __________

20. Perkara 86 mengawal pelupusan tanah-tanah yang
terletakhak pada Kerajaan Persekutuan. Kerajaan Persekutuan
tidak boleh melupuskan tanah-tanah itu kecuali untuk
maksud-maksud persekutuan. Selain daripada itu, jika hendak
dilupuskan kepada orang lain selain daripada pihak berkuasa
awam, pelupusan itu hendaklah dibuat di bawah undang-undang
persekutuan atau atas perintah Yang di-Pertuan Agong yang
diluluskan oleh Parlimen. Sesuatu pihak berkuasa awam atau
mana-mana orang yang memegang tanah daripada Kerajaan
Persekutuan untuk maksud-maksud persekutuan tidak boleh
melupuskan tanah itu seterusnya kepada pihak lain kecuali
kepada Kerajaan Persekutuan.

21. Kawalan yang dikenakan oleh Perkara 86 itu akan
menyulitkan pelaksanaan rancangan-rancangan pembangunan dan
ekonomi Kerajaan Persekutuan, khususnya rancangan
penswastaan, yang akan melibatkan pelupusan tanah-tanah
kepada pihak-pihak lain selain daripada pihak berkuasa awam,
yang mungkin pula akan mengakibatkan tanah-tanah itu
digunakan bagi maksud-maksud yang bukan maksud-maksud
persekutuan, sedangkan tanah-tanah itu tidak dirancang akan
berbalik kepada Kerajaan Persekutuan.

22. Fasal 6 Rang Undang-Undang ini mencadangkan supaya
Perkara 86 yang ada sekarang digantikan dengan Perkara 86
yang baru. Peruntukan baru itu memberi kebebasan kepada
Kerajaan Persekutuan melupuskan apa-apa tanah yang
terletakhak padanya kepada mana-mana orang sebagaimana yang
ia fikirkan patut.
PERKARA 118A____________

23. Perkara 118A menyatakan bahawa sesuatu aduan tentang
tidak adanya dibuat pemilihan ke Dewan Rakyat hendaklah
dianggap sebagai petisyen pilihanraya, dan Mahkamah Tinggi
boleh membuat perintah untuk memaksa supaya pemilihan
dibuat. Perkara itu juga menyatakan bahawa kegagalan
membuat pemilihan dalam tempoh yang dinyatakan oleh Perkara
54 dan 55 tidak boleh dijadikan alasan untuk mengisytiharkan
bahawa seseorang ahli itu telah tidak dipilih sewajarnya.
Fasal 7 Rang Undang-Undang ini mencadangkan supaya Perkara
118A itu dipinda supaya ianya terpakai juga bagi pemilihan
ke Dewan Undangan Negeri.
PERKARA 121 ___________

24. Perkara 121 meletakhak kuasa kehakiman Persekutuan pada
Mahkamah Tinggi dan mahkamah-mahkamah rendah. Ia juga
meletakhak bidangkuasa tertentu pada Mahkamah Agung.

25. Fasal 8 Rang Undang-Undang ini mencadangkan supaya
Perkara 121 dipinda dengan menghapuskan peruntukan tentang
meletakhak kuasa-kuasa kehakiman pada mahkamah-mahkamah dan
dengan memasukkan ke dalam Fasal (1) Perkara itu peruntukan
yang menyatakan bahawa Mahkamah Tinggi dan mahkamah-mahkamah
rendah hendaklah mempunyai bidangkuasa dan kuasa-kuasa
sebagaimana yang diberi oleh atau di bawah undang-undang
persekutuan. Dengan ini, Perkara itu tidak lagi akan
memberi penekanan pada meletakhak kuasa kehakiman
persekutuan pada mahkamah-mahkamah tetapi akan hanya
memperkatakan tentang jenis-jenis mahkamah dan bidangkuasa
serta kuasa-kuasanya.

26. Pindaan ini adalah perlu untuk menjelaskan lagi
kedudukan mahkamah-mahkamah. Pada masa ini, dengan adanya
peruntukan tentang meletakhak kuasa kehakiman Persekutuan
itu, batasan antara bidang kehakiman dan bidang eksekutif
atau perundangan adalah samar-samar. Dengan pindaan ini,
Kerajaan berharap akan dapat menggariskan batasan itu dengan
jelasnya. Ini adalah penting supaya pihak eksekutif,
perundangan dan kehakiman dapat menunaikan tanggungjawab
masing-masing tanpa mengganggu atau diganggu oleh pihak yang
lain. Kebelakangan ini telah terdapat tanda-tanda bahawa
perkara-perkara yang disangka adalah kuasa eksekutif
semata-mata telah dianggap sebagai boleh disentuh oleh pihak
kehakiman. Jika bidang tugas satu pihak dapat diganggu oleh
pihak lain, pentadbiran negara akan terancam dan akan
menjadi lemah, dan pentadbiran yang lemah tidak akan dapat
menjamin kestabilan dan kesejahteraan dalam sesuatu negara.

Tuan Yang di-Pertua,

27. Pindaan ini diperlukan kerana rakyat dan penduduk
negara ini dan juga Kerajaan perlu mengetahui dengan jelas
apakah yang salah dan apakah yang tidak salah dari segi
undang-undang negara. Untuk ini, adalah perlu kuasa
eksekutif, kuasa perundangan dan kuasa kehakiman ditentukan
dengan jelas.

28. Amatlah sukar bagi sesiapa juga membuat sesuatu jika ia
tidak tahu sama ada perbuatannya itu salah atau tidak salah
kerana undang-undang yang bertulis boleh diketepikan.
Mungkin ia bertindak kerana ia berfikir apa yang dibuat
olehnya tidak melanggar apa-apa undang-undang. Alangkah
malang baginya jika tiba-tiba ia didakwa dan mahkamah
memutuskan kesnya mengikut budi bicara mahkamah tanpa
mengambilkira undang-undang yang sedia ada. Mahkamah boleh
membuat keputusan ini dengan membuat bandingan dengan kes di
negara-negara lain yang tidak diketahui umum, bahkan
kadang-kadang tidak pun diketahui oleh peguam-peguam yang
mungkin memberi nasihat kepada pihak yang didakwa. Sebab
itu, biasa terjadi di mana mahkamah membuat keputusan yang
berlainan terhadap dua kes yang sama latarbelakangnya.
Sebab itu juga kes yang dahulu tidak pernah disoal oleh
mahkamah kerana mematuhi peruntukan undang-undang, tiba-tiba
disoal dan didapati salah berasaskan Natural Justice atau
Judicial Review yang tidak bertulis.

29. Penggunaan British Common Law secara tidak terhad tanpa
mengambilkira kebudayaan dan peradaban yang berlainan antara
Britain dan Malaysia, penggunaan hak mahkamah yang tidak
bertulis seperti Judicial Review, Natural Justice dan
lain-lain menjadikan undang-undang yang bertulis tidak
berguna lagi dan orang awam serta Kerajaan tidak lagi boleh
berpandukan kepada undang-undang apabila bertindak.

30. Di Britain, Tuan Yang di-Pertua, Parlimen mempunyai
kuasa yang tertinggi sekali. Perlembagaan Britain tidak
bertulis dan tidak berkuasa lebih dari Parlimen. Dengan
itu, Parlimen dapat membuat keputusan yang muktamad mengenai
sesuatu. Pihak lain perlulah menerima keputusan Parlimen
dan tidak membuat interpretasi yang berlainan daripada
Parlimen.

31. Di Malaysia, kita bersetuju menjadikan Perlembagaan
yang bertulis sebagai sumber undang-undang dan kuasa
tertinggi sekali. Tetapi interpretasi semua undang-undang
dan perlembagaan kita diserahkan kepada mahkamah tanpa had.
Ini bermakna bahawa sebenarnya Perlembagaan yang bertulis
tertakluk kepada budi-bicara kehakiman yang kadang-kadang
bertukar-tukar dan berbeza antara satu hakim dengan hakim
yang lain. Ini telah berlaku dalam kes bidang-kuasa
Kerajaan dan hak menteri berkenaan mengenai soal
keselamatan.

32. Dengan kuasa membuat interpretasi ini, mahkamah boleh
dan telahpun membuat interpretasi yang lari jauh daripada
maksud dan semangat sesuatu undang-undang itu digubal.
Mahkamah telah membuat keputusan bahawa dalam
menguatkuasakan undang-undang, mereka tidak terikat dengan
tujuan dan maksud undang-undang itu digubal oleh Parlimen.
Mereka membuat dasar sendiri bahawa mereka hanya terikat
dengan interpretasi mereka terhadap ayat-ayat yang didapati
dalam undang-undang. Dengan itu, segala keterangan,
penjelasan dan perbahasan semasa undang-undang digubal dalam
Dewan Rakyat dan Dewan Negara menjadi sia-sia sahaja.
Perbahasan kita di Dewan yang mulia ini tidak mencapai
apa-apa faedah.

33. Walaupun Mahkamah berkata mereka hanya terikat kepada
susunan ayat dalam undang-undang, tetapi dalam kes-kes
tertentu, mereka membelakangkan undang-undang bertulis sama
sekali. Biasa terjadi di mana undang-undang yang begitu
jelas sehingga tidak ada sesiapapun yang boleh keliru atau
membuat tafsiran yang berbeza, tetapi ada mahkamah yang
masih juga membuat tafsiran yang berlainan atau mengenepikan
sama sekali undang-undang berkenaan.

34. Ada mahkamah yang membelakangkan undang-undang yang
bertulis kerana lebih mengutamakan keputusan kes-kes di
Britain dan di lain-lain negara. Sekali lagi saya ingin
menarik perhatian bahawa Malaysia bukan Britain. Kebudayaan
dan tamadun British dan lain-lain negara barat berbeza
dengan ketaranya daripada kebudayaan dan tamadun masyarakat
berbilang kaum dan berbilang agama di Malaysia.

35. Sebagai contoh, orang-orang Eropah dan Amerika sekarang
menerima kesedudukan dan perkahwinan secara de facto antara
lelaki dengan lelaki dan perempuan dengan perempuan. Mereka
juga mengiktiraf berkesedudukan sebagai perkahwinan sehingga
jika mereka berpisah ini dianggap sebagai 'bercerai', dan
mahkamah boleh menetapkan 'palimony' atau saraan kepada
isteri atau suami pura-pura dalam perkahwinan ini. Apakah
ada persamaan antara kebudayaan ganjil ini dengan kebudayaan
di Malaysia? Apakah nilai-nilai seperti ini secucuk dengan
agama yang kita anuti? Apakah perlunya kita mengikut nilai
hidup mereka atau tafsiran dan konsep mereka berkenaan
dengan kebebasan individu membuat sesuka hati mereka?
Apakah hanya tafsiran dan logik mereka sahaja yang betul
sehingga kita patut membelakangkan undang-undang yang kita
buat dengan proses yang panjang dan perbahasan yang
mendalam? Apakah Natural Justice mereka lebih utama
daripada undang-undang kita?

36. Apakah dianya Natural Justice ini? Apakah yang
'natural' sangat berkenaan dengan keadilan yang dilaksanakan
oleh mahkamah Barat. Pada satu ketika dahulu mereka
mengenakan hukuman gantung kepada seseorang yang mencuri
kambing. Sekarang, orang yang membunuh berpuluh orang,
pengganas atau terrorist yang ganas yang membunuh dengan
sesuka hati pun tidak dikenakan hukuman mati. Maka dengan
itu, ramai yang dahulu takut membunuh, sekarang berani
membunuh dengan sewenang-wenangnya. Jika terdapat sepucuk
senapang, ada mereka yang dengan gembira, menembak mati
orang yang berjalan di jalan atau melintas di hadapan
mereka. Apa yang hendak ditakutkan? Hukuman yang terberat
sekali ialah hukuman penjara seumur hidup. Itu pun jika
baik kelakuan, mereka boleh dibebaskan selepas di penjara
beberapa tahun sahaja. Selepas dibebaskan, ada yang
membunuh lagi. Apakah ini satu jenis Natural Justice?
Apakah yang begitu natural dengan simpati yang ditunjukkan
kepada pembunuh tetapi tidak ditunjukkan kepada yang
dibunuh?

37. Apakah ini yang menjadikan Natural Justice lebih baik
daripada undang-undang kita sehingga kita mesti mengikutnya?
Apakah kebebasan yang terlampau yang diberikan kepada orang
barat mesti diberikan juga kepada kita? Apakah nyawa orang
yang dibunuh tidak bernilai tetapi nyawa pembunuh begitu
'sacred' sehingga ia tidak boleh dikenakan hukuman mati?

38. Malaysia bukan Eropah, bukan Amerika. Kita mempunyai
kebudayaan kita sendiri, nilai-nilai kita sendiri. Kita
boleh meminjam apa yang dianggap baik dan secocok dengan
kita, tetapi kita tidak terikat dengan semua yang dibuat
atau dipercayai oleh mereka. Kita terima demokrasi tetapi
kita tidak perlu terima semua yang mereka anggap demokratik.
Hak memiliki senjata api, umpamanya, bukanlah asas demokrasi
sehingga jika tidak dibenarkan, maka kita tidak demokratik.

39. Dalam demokrasi kita, rakyat berkuasa. Rakyat melantik
wakil mereka yang ditugaskan untuk membentuk Kerajaan dan
membuat undang-undang. Jika rakyat mahu Kerajaan disekat
sehingga tidak boleh menggubal undang-undang tertentu,
rakyat akan menjatuhkan Kerajaan itu dan membahagi-bahagikan
perwakilan mereka antara parti-parti politik sehingga tidak
akan terbentuk sebuah Kerajaan yang boleh melanggar kehendak
rakyat. Jika rakyat memilih untuk memberi kuasa kepada
sebuah parti sehingga parti itu boleh meminda perlembagaan,
rakyat boleh memilih bilangan ahli yang mencukupi daripada
parti itu untuk berbuat demikian. Seorang individu, walau
apapun jawatannya, tidak berhak mengenepikan kehendak
rakyat. Satu golongan elit tidak berhak menghalang kehendak
rakyat kerana golongan elit ini memikirkan mereka lebih arif
daripada rakyat.

40. Jika pihak lain mengenepikan hak rakyat dengan
melanggar konsep demokrasi kita, maka perbuatan itu adalah
tidak demokratik. Sebab itu, undang-undang yang dibentuk
oleh wakil rakyat mesti dihormati. Sesiapa yang
membelakangkan undang-undang yang dibuat oleh Kerajaan
pilihan rakyat, ianya mencabul demokrasi. Justeru itu, kita
wakil rakyat dan rakyat amnya tidak boleh menerimanya.

41. Namun demikian, sistem demokrasi kita memberi peluang
kepada pihak kehakiman dan pihak perkhidmatan awam yang
kekal, atau permanent civil service, untuk menegur wakil
rakyat -- iaitu Kerajaan -- dalam urusan harian melalui
saluran-saluran tertentu. Kuasa menegur dan mengawal
Kerajaan tidak bermakna anugerahan kuasa menidakkan hak
rakyat dan wakil-wakil mereka. Juga jika wakil rakyat dan
Kerajaan menyeleweng atau melakukan jenayah, mereka boleh
dihukum sama seperti orang lain. Sejarah menunjukkan bahawa
Kerajaan mematuhi keputusan mahkamah berkenaan dengan
Menteri-Menteri Kabinet. Ada yang disingkir daripada
Kabinet kerana menyalahi undang-undang. Tetapi mahkamah
juga perlu patuh kepada undang-undang.

42. Untuk menentukan bahawa suatu imbangan tercapai, kita
memerlukan kehakiman dan perkhidmatan awam yang tidak
terlibat dengan parti politik. Malangnya, pada masa yang
lampau ini, kita mendapati beberapa anggota kehakiman sudah
terlibat dengan politik. Mempunyai sikap yang ditakrifkan
sebagai 'fiercely independent' di kalangan beberapa anggota
kehakiman bermakna secara tidak langsung mereka terlibat
dengan politik pembangkang. Sudah tentu untuk
memperlihatkan kebebasan mereka itu bersungguh-sungguh atau
fierce, mereka akan 'bend over backwards' untuk memberi
keputusan yang memihak kepada pencabar Kerajaan.

43. Kehakiman sepatutnya menumpukan perhatian kepada
keadilan dan tidak memihak kepada sesiapapun. Apabila hakim
berasa perlu ia membuktikan kebebasannya terlebih dahulu,
maka keadilan akan mendapat tempat yang kedua. Dengan
perkataan lain, keadilan tidak tercapai apabila hakim lebih
mengutamakan sikap bebasnya dari Kerajaan. Oleh sebab
inilah, maka ada hakim-hakim yang semasa menjatuhkan hukuman
membuat kenyataan yang tidak berasas, seolah-olah melepaskan
geram. Kenyataan-kenyataan ini dibuat kerana kepercayaan
bahawa apa yang dikata oleh hakim tidak boleh ditegur. Jika
dikritik, maka hakim boleh mendakwa di bawah 'menghina
mahkamah' atau 'contempt of court'. Jika ada rayuan, maka
kes itu menjadi 'sub-judice' dan sekali lagi segala komen
terhadap kes berkenaan dianggap salah. Dengan perkataan
lain, hakim boleh mencemuh seseorang kerana orang itu tidak
berhak mempertahankan diri.

44. Ini dapat dilihat apabila seorang hakim mendakwa
menteri mempunyai niat buruk atau 'mala fide' kerana tidak
menyiasat sama ada maklumat yang disampaikan oleh pegawainya
tepat atau tidak. Setiap orang menteri mempunyai berpuluh
pegawai yang ditugaskan dengan tugas-tugas tertentu. Setiap
hari menteri menerima berbagai-bagai laporan daripada
pegawai-pegawai ini. Jika kerja-kerja menteri hendak
dijalankan, maka menteri terpaksa mempercayai maklumat yang
disampaikan oleh pegawai kepadanya. Jika tidak, menteri
mestilah memeriksa dan menyelidik sendiri setiap butir
maklumat yang disampaikan oleh pegawainya, sebelum ia
membuat apa-apa keputusan. Jika menteri terpaksa menyelidik
sendiri untuk menentukan benar atau tidak sesuatu butir
maklumat, maka pegawai tidaklah diperlukan lagi. Dalam
keadaan yang menteri mempunyai masa yang terhad untuk
membuat keputusan, maka penyelidikan terhadap kebenaran
tiap-tiap maklumat tidak mungkin dibuat. Hanya apabila
menteri mensyakki maklumat yang disampaikan kepadanya tidak
tepat, baharulah ia akan mengarahkan supaya penyelidikan
dibuat oleh pegawai yang lebih tinggi. Jika laporan yang
disampaikan kepadanya adalah dari pegawai yang biasa
melaporkan kepadanya di masa lepas dan biasanya laporan itu
tepat, tidak ada sebab kenapa menteri patut mengesyakki
apa-apa. Menteri harus menerima laporan yang disampaikan
kepadanya.

45. Memang ada kemungkinan bahawa di antara beratus butir
laporan yang diterima oleh menteri, terdapat satu yang tidak
tepat. Hanya dengan kerana menteri tidak mengesyakki satu
butir maklumat dan tidak menyelidik, tidak bermakna ia
berniat buruk.

46. Jika kerana satu butir maklumat tidak tepat, maka ini
bermakna menteri berniat buruk dan dengan itu lima butir
maklumat yang benar diketepikan, maka keadilan tidak akan
tercapai. Jika seorang dituduh membunuh enam orang dan
terdapat tuduhan terhadap satu kes tidak benar, apakah yang
lima lagi yang mempunyai bukti yang jelas menjadi tidak
benar? Jika inilah asas pertimbangan kehakiman, maka di
mana letaknya keadilan? Berasaskan kepada logik ini,
mungkin tidak ada siapapun yang akan didapati bersalah.

47. Hakim bukanlah seorang yang tidak boleh membuat salah
atau tidak boleh berniat buruk. Dalam kes Carrian di Hong
Kong, seorang hakim, Justice Barker, telah membuat keputusan
yang ganjil dalam pandangan seluruh dunia. Keputusan ini
dikesan oleh akhbar dan juga Majlis Peguam atau Bar Council
Hong Kong. Apabila Hakim Besar Hong Kong disoal dalam
temuramah di televisyen, beliau enggan menjawab. Nampaknya,
beliau juga tidak percaya hakim berkenaan membuat keputusan
yang adil.

48. Perkara yang menarik ialah orang awam dan Majlis Peguam
di Hong Kong berani membuat teguran terhadap keputusan
hakim. Kata seorang QC yang terkenal, keputusan Justice
Barker adalah 'irrational and bizarre' atau 'tidak siuman
dan pelek'. Apakah tidak mungkin di Malaysia juga terdapat
keputusan hakim yang irrational, bizarre dan mala fide?

49. Setiap kuasa yang diberi mesti digunakan dengan penuh
tanggungjawab. Janganlah kerana immunity yang diberi, maka
kita melemparkan tohmahan dengan sewenang-wenangnya dan kita
membuat sesuatu sesuka hati kita. Mengikut laporan akhbar
semalam, Justice Barker telah meletakkan jawatannya.
Tuan Yang di-Pertua,

50. Saya membuat kenyataan ini kerana adalah amat penting
rakyat mempunyai kepercayaan kepada sistem kehakiman negara.
Jika saya tidak menjelaskan tentang lemahnya asas hukuman
yang dibuat oleh seseorang hakim, maka rakyat akan
tertanya-tanya akan tindakan yang telah diambil oleh
Kerajaan. Mungkin kenyataan ini akan prejudice kes rayuan
Kerajaan. Ini adalah risiko yang kita tidak dapat elakkan.
Hakikatnya ialah amalan sub-judice dan contempt of court
kadang-kadang menghalang hak pihak yang dicemuh
mempertahankan diri. Seperti juga apa-apa sistem,
baik-buruknya bergantung kepada orang yang menjalankannya.
Jika orang ini menyalahgunakan sistem ini, dengan
kepercayaan bahawa tiada sesiapa boleh membuat apa-apa
kepadanya, maka sistem ini akan membawa keburukan.

51. Membuat tuduhan bahawa menteri bertindak dengan
sewenang-wenangnya atau cavalier dan mempunyai niat buruk
(mala fide) adalah perkara yang serius yang mencemar nama
menteri. Sudah tentu akhbar luar negeri akan gembira dengan
tuduhan ini, dan sudah tentu imej negara terjejas. Sudah
tentu parti pembangkang akan gembira. Soalnya, benarkah
tuduhan ini? Oleh kerana contempt of court, mulut pihak
yang dicemoh ditutup. Bahkan akhbar tempatan pun tidak
dapat membuat apa-apa komen. Apakah ini keadilan?

52. Sebab itu, Tuan Yang di-Pertua, kita perlu berpegang
kepada undang-undang yang jelas. Kehakiman dipenuhi dengan
manusia biasa yang mempunyai perasaan yang tidak berbeza
dengan manusia lain. Jika mereka begitu bebas dan kebebasan
ini membawa kepada ketidakadilan, maka hasrat kehakiman
tidak akan tercapai. Oleh itu, adalah lebih adil kita
berpegang kepada undang-undang yang bertulis yang dibuat
mengikut kehendak rakyat dalam sistem demokrasi berparlimen
ini. Hakim perlulah menjelaskan di bawah undang-undang mana
yang ia membuat hukuman. Budi-bicara hakim hendaklah
tertakluk kepada undang-undang negara melainkan tidak ada
undang-undang negara berkaitan dengan kes berkenaan.

Tuan Yang di-Pertua,

53. Pada masa ini, terdapat lebih 300,000 kes yang belum
dibicarakan. Bagi mereka yang menunggu keadilan dalam
kes-kes ini, tidak adanya perbicaraan bermakna keadilan
tidak ada bagi mereka. Mungkin ada di antara mereka yang
akan meninggal dunia sebelum kes mereka didengar. Jika
didengar sekalipun, mungkin butir-butir berkenaan dengan kes
mereka sudahpun dilupai oleh saksi-saksi dan pegawai-pegawai
yang berkenaan. Mungkin pihak yang mendakwa dan yang
didakwa sendiri pun sudah lupa. Ramai pula yang ditahan
dalam penjara reman atau remand prison sementara menanti
perbicaraan. Baru-baru ini seorang pengedar dadah telah
berada dalam tahanan selama 8 tahun. Jika ia bersalah, ini
tidak mengapa. Tetapi jika akhirnya ia didapati tidak
bersalah, maka teraniayalah dia. Walau apa pun dibuat,
tempoh beberapa tahun yang ia merengkok dalam penjara tidak
dapat diganti.

54. Justeru itu, amatlah penting bagi kes-kes mereka
didengar dengan segera. Dan ini boleh dibuat jika
pelaksanaan undang-undang bertulis diutamakan dalam kes-kes
yang dibicarakan.
Tuan Yang di-Pertua,

55. Satu perkara yang sering menjadi sungutan dan
menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan masyarakat
Islam di negara ini ialah keadaan di mana mahkamah-mahkamah
sivil dapat mengubah atau membatalkan sesuatu keputusan yang
telah dibuat oleh mahkamah Syariah. Misalnya, pernah
berlaku keadaan di mana seseorang yang tidak puashati dengan
keputusan mahkamah Syariah tentang penjagaan kanak-kanak
telah membawa guaman itu ke Mahkamah Tinggi pula dan berjaya
mendapat keputusan yang berlainan.

56. Kerajaan berpendapat bahawa keadaan seperti itu
menjejaskan kewibawaan mahkamah Syariah dan pelaksanaan dan
pentadbiran Hukum Syara' di kalangan umat Islam di negara
ini. Adalah sangat penting menjamin kewibawaan mahkamah
Syariah oleh kerana sudah sewajarnya mahkamah Syariah diberi
kuasa penuh untuk menentu dan memutuskan perkara-perkara
yang termasuk dalam bidangkuasanya, apatah lagi kerana
perkara-perkara itu melibatkan Hukum Syara'.

57. Oleh yang demikian, adalah dicadangkan juga supaya
ditambah satu Fasal baru kepada Perkara 121 itu, iaitu Fasal
(1A), yang menjelaskan bahawa mahkamah-mahkamah yang
tersebut dalam Perkara itu tidak mempunyai bidangkuasa
berkenaan dengan apa-apa perkara yang terletak di bawah
bidangkuasa mahkamah Syariah. Adalah menjadi hasrat
Kerajaan untuk mengadakan Mahkamah Tinggi supaya rujukan
boleh dibuat oleh pihak yang tidak berpuas hati.
PERKARA 142 ___________

58. Fasal (2A) dalam Perkara 142 menetapkan bahawa
pengerusi sesuatu Suruhanjaya Perkhidmatan tidak layak
memegang jawatan jika dia bergiat dalam urusan perniagaan
dan sebagainya. Fasal 9 Rang Undang-Undang ini bertujuan
meminda Fasal (2A) itu supaya timbalan pengerusi sesuatu
Suruhanjaya Perkhidmatan akan juga tertakluk kepada Fasal
itu. PERKARA 145 _________

59. Fasal (3) Perkara 145 memberi budibicara kepada Peguam
Negara untuk memulakan prosiding bagi sesuatu kesalahan.
Dalam membuat sesuatu keputusan semasa menjalankan
budibicaranya, Peguam Negara sewajarnyalah berpandukan
kepada kenyataan-kenyataan yang dikemukakan kepadanya oleh
pihak penyiasat. Mungkin dari kenyataan-kenyataan yang
diterima, dan atas sebab-sebab tertentu, mungkin dari segi
keselamatan, kerumitan kes, dan lain-lain lagi, sesuatu kes
itu tidak sesuai dibicarakan di mahkamah rendah di sesuatu
tempat tertentu. Untuk kepentingan keadilan, untuk menjamin
agar kedua-dua pihak mendapat peluang yang sama untuk
mengemukakan kes mereka sewajarnya, mungkin perlu
memindahkan kes yang berkenaan dari mahkamah rendah ke
Mahkamah Tinggi tanpa mengadakan penyiasatan awal atau
'preliminary enquiry'.

60. Memandangkan keperluan tersebut, Parlimen telah
mengkanunkan Akta Kanun Prosedur Jenayah (Pindaan dan
Perluasan) 1976 yang menambahkan kepada Kanun Prosedur
Jenayah satu seksyen baru, iaitu seksyen 418A. Seksyen itu
memberi kuasa kepada Pendakwa Raya untuk meminta mahkamah
rendah memindahkan kes yang menunggu penyelesaian di
hadapannya ke Mahkamah Tinggi di tempat yang ditetapkan oleh
Pendakwa Raya, dan mahkamah rendah berkewajipan menghantar
kes itu ke Mahkamah Tinggi yang ditetapkan itu tanpa
mengadakan apa-apa penyiasatan awal.

61. Beberapa kes telah dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di
bawah seksyen itu. Dalam tahun 1976 seksyen itu telah
dicabar dan Mahkamah Tinggi memutuskan seksyen itu tidak sah
kerana bercanggah dengan Perlembagaan, tetapi Mahkamah
Persekutuan, setelah mendengar rayuan terhadap keputusan
itu, telah memutuskan seksyen itu adalah sah. Dalam tahun
1987 seksyen itu dicabar lagi atas alasan-alasan lain pula,
dan kali ini Mahkamah Agung memutuskan bahawa seksyen itu
tidak sah. Semua ini jelas menunjukkan terdapatnya
ketidak-pastian tentang sahnya seksyen itu.

62. Oleh itu, demi untuk membolehkan Peguam Negara
menjalankan tugas-tugasnya sebagai Pendakwa Raya dengan
tegas, adalah difikirkan perlu mengadakan peruntukan khusus
dalam Perlembagaan yang akan membolehkan peruntukan seperti
seksyen 418A itu dibuat dalam undang-undang.

63. Untuk maksud itu, fasal 10 Rang Undang-Undang ini
mencadangkan supaya dimasukkan ke dalam Perkara 145 Fasal
baru (3A) yang membolehkan undang-undang persekutuan memberi
kuasa kepada Peguam Negara menentukan mahkamah-mahkamah di
mana prosiding-prosiding yang Peguam Negara berkuasa
memulakan akan diadakan atau kepada mana prosiding itu akan
dipindahkan.
PERKARA 158 ___________

64. Perkara ini membolehkan perkiraan-perkiraan dibuat
berkenaan dengan Kerajaan Brunei tentang hal-hal
pentadbiran, perkhidmatan dan kuasa eksekutif.

65. Oleh kerana perkiraan-perkiraan itu tidak diperlukan
lagi sekarang, setelah Negara Brunei Darussalam mencapai
kemerdekaan, adalah dicadangkan melalui fasal 11 Rang
Undang-Undang ini supaya Perkara 158 itu dimansuhkan.
JADUAL KESEMBILAN _________________

66. Fasal 12 Rang Undang-Undang ini bertujuan membuat
beberapa pindaan kepada Senarai-Senarai Undangan dalam
Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan.
Pindaan-pindaan itu menyentuh perkara-perkara perumahan,
peninggalan purba dan sebagainya, dan kebudayaan dan sukan.
Perumahan _________

67. Tentang perumahan, butiran 24 dalam Senarai I (Senarai
Persekutuan) menetapkan 'perumahan persekutuan dan amanah
kemajuan' ('federal housing and improvement trusts') sebagai
perkara Persekutuan. Butiran 4(c) Senarai II (Senarai
Negeri) menetapkan sebagai perkara Negeri 'perumahan dan
peruntukan-peruntukan bagi kemudahan perumahan: amanah
kemajuan' ('housing and provisions for housing
accommodation: improvement trusts').

68. Kerajaan Persekutuan merancang untuk memainkan peranan
yang penting dalam melaksanakan dasar perumahan negara.
Hasrat untuk menyediakan perumahan bagi rakyat negara ini
yang memerlukan tempat tinggal tentu akan dapat dicapai ke
tahap yang lebih tinggi sekiranya usaha-usaha
Kerajaan-Kerajaan Negeri ditampung dengan penglibatan yang
gigih di pihak Kerajaan Persekutuan.

69. Untuk memainkan peranannya dalam usaha ini dengan
berkesan, Kerajaan Persekutuan mungkin perlu mewujudkan
undang-undang tertentu. Tetapi dengan keadaan
butiran-butiran dalam Senarai I dan II sebagaimana
dinyatakan tadi, adalah sukar hendak menentukan apakah
batasan bidangkuasa Persekutuan dalam perkara perumahan.
Bahawasanya butiran 24 dalam Senarai I menggunakan perkataan
'federal' tidak dapat membantu dalam soal ini oleh kerana
tentu sekali apa yang diusahakan oleh Kerajaan Persekutuan
itu adalah perumahan persekutuan.

70. Adalah dicadangkan supaya butiran 24 Senarai I
dimansuhkan dan butiran 4(c) dalam Senarai II dipindahkan
kepada Senarai III (Senarai Bersama) dengan menjadi butiran
9C. Dengan itu, perkara perumahan dan sebagainya akan
menjadi perkara bersama yang tidak ada batasannya bagi
Kerajaan Persekutuan daripada segi Perlembagaan.
Peninggalan Purba Dan Sebagainya ____________________

71. Tentang peninggalan purba dan sebagainya, di bawah
butiran 13(b) Senarai I perkara 'perpustakaan; muzium,
monumen dan rekod purbakala dan sejarah serta tapak dan
peninggalan zaman purba' adalah perkara Persekutuan.
Perkara itu adalah juga perkara Negeri bagi Negeri-Negeri
Sabah dan Sarawak sahaja, sebagaimana diperuntukan oleh
butiran 17 Senarai IIA, kecuali jika mana-mana perkara itu
diisytiharkan sebagai hak Persekutuan oleh undang-undang
Persekutuan.

72. Negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, seperti Negeri
Melaka misalnya, yang berhasrat menjalankan usaha-usaha
untuk mengekal dan memperbaiki peninggalan-peninggalan atau
warisan-warisan sejarahnya, tidak dapat berbuat demikian
dengan berkesan oleh kerana mereka tidak ada kuasa membuat
undang-undang mengenai perkara itu.

73. Adalah dicadangkan supaya butiran 17 dalam Senarai IIA
itu dipindahkan kepada Senarai II supaya perkara ini,
tertakluk kepada butiran 13(b) Senarai I, akan menjadi
perkara Negeri bagi semua Negeri di Malaysia.
Kebudayaan Dan Sukan ____________________

74. Mengenai kebudayaan dan sukan, pada masa ini perkara
kebudayaan dan sukan tidak disebut dalam Jadual Kesembilan.
Oleh yang demikian, menurut Perkara 77, hal kebudayaan dan
sukan menjadi hal yang di bawah kuasa perundangan
Negeri-Negeri, sedangkan Kerajaan Persekutuan banyak
menjalankan usaha-usaha bagi kepentingan kebudayaan dan
sukan seluruh negara dan usaha-usaha itu adakalanya
memerlukan undang-undang untuk menjadi lebih berkesan.

75. Adalah dicadangkan supaya perkara kebudayaan dan sukan
dimasukkan ke dalam Senarai III sebagai butiran 9B, dengan
itu menjadi perkara bersama.

Tuan Yang di-Pertua,

76. Pindaan-pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan itu
tadi adalah difikirkan penting bagi menyelaraskan
Perlembagan dengan keperluan semasa. Ianya juga adalah
untuk melicinkan lagi pentadbiran negara. Tentangan
terhadapnya daripada pihak-pihak tertentu adalah
dijangkakan. Mereka ini, seperti biasa, meminta orang asing
campurtangan dalam urusan rumahtangga kita. Sementara
mereka bercakap tentang kebebasan kehakiman atau
independence of the judiciary, mereka nampaknya belum sedar
akan kemerdekaan negara sendiri.

77. Undang-undang ini tidak menjejaskan kebebasan
kehakiman. Mereka tidak dikehendaki memihak kepada
Kerajaan. Mereka hanya dikehendaki berpegang kepada
undang-undang negara. Undang-undang negara disahkan atau
dibuat oleh Parlimen. Jika Parlimen di Britain adalah agung
atau supreme, apakah salahnya jika dalam penggubalan
undang-undang di Malaysia, Parlimen diberi hak yang sama?

78. Membenarkan mahkamah-mahkamah membuat undang-undang
sendiri dan kemudian melaksanakan undang-undang itu,
bermakna mahkamah memainkan peranan sebagai badan
perundangan dan kehakiman. Ini adalah bertentangan dengan
Doktrin Perasingan Kuasa atau Doctrine of Separation of
Powers. Mengikut doktrin ini, badan perundangan hendaklah
membuat undang-undang dan pihak kehakiman menghukum mengikut
undang-undang itu. Pindaan perlembagaan ini menentukan
perasingan kuasa ini diamalkan dan timbal-tindih kuasa tidak
lagi berlaku antara pihak kehakiman dengan perundangan.

Tuan Yang di-Pertua,

79. Saya mohon mencadangkan.

1 Responses (Leave a Comment):

Anonymous said...

saya juga mohon untuk dibacakan Tuan Yang Dipertua..