Apr 17, 2008

Pak Lah: peralihan kuasa?

Saya ada dimaklumkan bahawa Jawatankuasa Pengurusan UMNO Malaysia telah menjelajah ke beberapa buah negeri bagi mendengar rungutan dan maklum balas daripada akar umbi berkenaan prestasi buruk parti di dalam pilihan raya umum ke-12 yang lalu. Hakikatnya kita menyanjung tinggi tindakan ini kerana secara adilnya pucuk pimpinan perlu turun bagi membuat post-mortem yang lebih spesifik yang menjurus kepada kekalahan yang tidak diduga ini. Namun apa yang menarik perhatian mengenai intipati dan tajuk perbincangan tersebut ialah "proses transisi kuasa".

Banyak sudah yang telah diperkatakan mengenai perkara ini. Ianya bermula dengan desakan UMNO negeri Johor yang mahukan Pak Lah merangka sebuah pelan peralihan ataupun transisi kuasa bagi menyerahkan jawatannya kepada Datuk Seri Najib. Yang terbaru ialah desakan daripada beberapa orang Ketua UMNO Bahagian di negeri Perak yang mahukan agar Pak Lah menyegerakan proses ini dan pada masa yang sama membuat pengumuman secara lebih terperinci mengenai pelan transisi ini.

Persoalannya, adakah kemelut yang sebenarnya (prestasi buruk di dalam pilihanraya) bukan disebabkan oleh UMNO ini akan selesai apabila Pak Lah meletakkan jawatan?

Mampukah semua pihak kembali berdiam diri dan kembali memulakan tanggungjawab masing-masing diperingkat bahagian? Hakikatnya proses dan pelan transisi kuasa bukanlah yang penting pada ketika ini. Kepimpinan UMNO perlu kembali memberi fokus terhadap proses memulihkan keyakinan rakyat dikawasan masing-masing. Bagi ADUN ataupun kawasan Parlimen yang telah ditawan oleh Pembangkang, jentera UMNO perlu bertindak menjadi "watch dog" yang bukan sahaja mampu menyalak malah mampu menggigit dan memberi "signal" kepada rakyat bahawa UMNO sedang bangkit dengan semangat baru.

Pak Lah perlu diberi peluang untuk kembali memulihkan parti. Pak Lah juga perlu diberi peluang untuk membawa UMNO keluar daripada krisis. Ahli UMNO perlu kembali mengkaji dan belajar daripada sejarah. UMNO terus dihormati dan menjadi tunjang kepada umat Melayu kerana ia mengekalkan tradisi menghormati kepimpinan dan institusi Presiden. Tidak pernah terjadi dalam sejarah di mana Presiden UMNO dipaksa untuk menyerahkan jawatan. Kalau kita lihat pada tahun 1969, Tunku Abd Rahman menyerahkan kepimpinan kepada Tun Razak melalui pembentukan Mageran.

Pada tahun 1981, Tun Hussein Onn mengisytiharkan untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden dan secara simbolik dan penuh kekeluargaan menyerahkan jawatan paling penting itu kepada Mahathir Mohammad. Dan yang terakhir sekali dan ianya disaksikan oleh generasi pasca DEB ialah pelan transisi kuasa Tun Mahathir kepada Pak Lah. Secara hipotesisnya, kita semua sedia maklum bahawa pertandingan 1987 telah menyebabkan parti kesayangan kita diheret ke mahkamah dan diharamkan. Bertitik tolak pada peristiwa itu ahli UMNO bersetuju bahawa pertandingan diperingkat tertinggi parti mampu melemahkan UMNO dan mereka secara terbuka menerima dan menyokong kewujudan sistem kuota yang dilihat mampu melindungi UMNO daripada golongan yang mahu menggunakan jawatan untuk kepentingan peribadi.

Tetapi pada hari ini kita hairan wujudnya unsur-unsur yang ingin melihat jawatan Presiden ini kembali dipertandingkan. Suara-suara ini termasuklah orang yang bertanggungjawab menggubal undang-undang kuota pada tahun 1988 dan orang yang bertanggungjawab mengheret UMNO ke mahkamah lalu diharamkan. Di sini saya ingin merayu agar kita menghentikan polemik transisi kuasa ini.

Sekiranya kita sayang kepada parti maka kita perlu menghentikan tuntutan-tuntutan yang tidak menyihatkan ini. Kita juga perlu insaf bahawa kerajaan pembangkang di negeri-negeri yang diperintah oleh mereka telah mengorak langkah membeli jiwa dan hati rakyat. Apa yang paling ditakuti ialah mereka akhirnya akan berjaya menemui sentuhan "Pakatan Rakyat berbentuk Barisan Nasional Baru" yang membawa UMNO dan Barisan Nasional akan menjadi sudah tidak relevan lagi di hati rakyat.

dipetik dari: www.kpmu.net

www.rencahmalaysia.blogspot.com

0 Responses: