Oct 23, 2009

Kes Gobind anak Karpal Singh: maknanya semua ahli parlimen yang digantung daripada menghadiri sidang Parlimen layak dibayar elaun?

Permohonan Gobind dapat perisytiharan ditolak


KUALA LUMPUR 22 Okt. – Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo hari ini gagal memperoleh perisytiharan bahawa keputusan menggantungnya daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama setahun sebagai tidak sah dan batal.


Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) Mohamad. Ariff Md.. Yusof yang menolak permohonannya bagaimanapun memutuskan Gobind berhak menerima semua elaun dan faedah sebagai Ahli Parlimen.


Dengan keputusan itu bermakna harapan Gobind untuk menghadiri sidang Dewan Rakyat masih belum tercapai dan perlu menunggu sehingga tempoh tersebut berakhir.


Gobind yang diwakili peguam yang juga bapanya, Karpal Singh ketika ditemui sejurus prosiding bagaimanapun memberitahu, beliau tidak akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan tersebut.


Ini kerana menurut Gobind, keputusan dan penghakiman yang dibuat, suatu yang adil dan munasabah.


Dengan nada bergurau ketika ditanya apakah yang beliau akan buat dengan ‘tunggakan’ elaun yang bakal diterimanya, Gobind memberitahu bahawa: ‘‘Saya perlu membayar yuran guaman untuk peguam.’’


Sambil tertawa Karpal mencelah: ‘‘Oh tidak. Saya cuma mengendalikan kes ini secara probono (percuma tanpa sebarang bayaran).’’


Pada 16 Mac lalu, Gobind digantung selama setahun oleh Speaker Dewan Rakyat daripada menjalankan tugas sebagai Ahli Parlimen.


Arahan dibuat selepas usul menggantung Gobind selama setahun dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dan diluluskan oleh Dewan Rakyat melalui undi mulut selepas dibahas kira-kira 40 minit.


Ia adalah ekoran daripada tindakan Gobind pada 12 Mac lalu yang mengeluarkan kenyataan dan mendakwa Datuk Seri Najib Tun Razak yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri terlibat dalam satu kes melibatkan seorang wanita Mongolia.


Gobind, 36, yang tidak berpuas hati telah memfailkan saman pemula pada 23 April lalu untuk menuntut perisytiharan bahawa penggantungannya sebagai Ahli Parlimen tidak sah dan batal serta arahan tersebut ditarik balik.


Beliau mendakwa perintah penggantungan itu sebenarnya bertentangan dengan Artikel 8(1) Perlembagaan Persekutuan.


Turut dituntut ialah perisytiharan beliau berhak ke atas semua ganjaran, elaun dan faedah lain yang diberikan kepada Ahli Parlimen mengikut Artikel 64 Perlembagaan Persekutuan.


Selain Mohamed Nazri, Gobind menamakan Speaker Dewan Rakyat dan Setiausaha Dewan Rakyat Datuk Roosme Hamzah serta kerajaan Malaysia sebagai defendan.


Hakim Mohamad Ariff dalam penghakimannya berkata, Dewan Rakyat pada 16 Mac lalu mendapati pernyataan Gobind terjumlah kepada kenyataan yang menghina.


Dalam hal tersebut, menurut beliau, mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mencabar keputusan Dewan Rakyat.


dipetik dari utusanonline


p.s


Akhirnya diputuskan oleh Mahkamah bahawa pengantungan seorang ahli Parlimen daripada menghadiri sidang Parlimen hanya menghalang MP tersebut menghadiri dewan sahaja. Namun ia tidak menghalang MP tersebut menjalankan tanggungjawab sebagai seorang MP. 


Untuk itu semua elaun sebagai MP wajib dibayar. Kalau menggunakan kes ini sebagai penanda aras, maknanya kes-kes ADUN yang digantung termasuk ADUN BN di Selangor perlu dibayar elaun? 


Kita nantikan episod seterusnya. 


www.rencahmalaysia.blogspot.com

0 Responses: