Saya membaca Harakah sejak berumur sepuluh tahun. Ketika kanak-kanak seusia bercerita hal voltron dan ultraman, saya sudah kenal politik. Saya sudah kenal agenda PAS dan juga perang antara UMNO dan juga PAS. Saya juga sudah kenal kegiatan yahudi dan misi Amerika serta kegiatan dakyah kristian di Malaysia. Semua ini kerana saya membaca Harakah.
Ayah saya seorang pejuang PAS tegar. Sampai ke hari ini beliau masih pejuang PAS dan percaya pada kepimpinan PAS.
Saya terus membaca Harakah sehingga masuk Universiti dan bekerja dengan Kerajaan.
Kemudian saya berhenti membaca Harakah. Kenapa? saya membaca Harakah kerana percaya dengan tulisan dalam Harakah. Saya juga percaya pada semua kritikan PAS. Sehingga saya bekerja dengan Kerajaan baru saya sedar apa yang dikatakan oleh Harakah terutama lidah pengarangnya merupakan maklumat setengah masak yang diadun sedemikian rasa dengan perspektif mereka sendiri.
Saya rasa tertipu dan terkilan terutama apabila maklumat yang diberikan hanyalah berdasarkan gosip dan ditokok tambah oleh wartawan Harakah. Banyak yang saya dapat sebagai seorang pegawai kerajaan yang duduk dalam mesyuarat-mesyuarat besar yang memberikan saya suatu bentuk pandangan baru. Ini mengubah tangapan saya secara total kepada Harakah dan PAS.
Hari ini saya ke rumah sahabat ahli PAS dan terbaca Harakah terutama berkaitan dengan tulisan wartawan Harakah berkaitan ketirisan dokumen PKFZ. Wartawan itu dalam heading nya menyatakan bahawa "respons Najib pengakuan dokumen PKFZ tulen". Sekali baca seolah-olah isinya akan memberi tahu kita bahawa akhirnya PM mengaku bahawa kertas kabinet PKFZ yang dibocorkan diinternet adalah tulen. Tetapi rupa-rupanya wartawan itu sekadar menyebut cakap si Mahfuz. Mahfuz menyatakan bahawa PM, disebabkan kekalutan beliau, secara TAK langsung mengaku bahawa dokumen itu tulen.
Inilah etika seorang wartawan propaganda. Menulis mengikut arahan bos. Bos hendak putar belit cerita maka inilah yang dilakukan oleh beliau demi sesuap nasi. Harakah selalu mengatakan bahawa Utusan, RTM dan TV3 adalah agen propaganda Kerajaan tetapi akhirnya, Harakah meludah ke langit. Ini terbukti dengan beberapa artikel mereka dan yang saya kupas ini hanyalah satu antara seribu berita yang diputar belit oleh PAS.
PM tidak pernah mengaku bahawa dokumen itu adalah tulen. Yang mengatakan dokumen itu adalah tulen hanyalah Mahfuz. Itu yang dipetik oleh wartawan ini. Sekiranya ada dokumen tentang sesuatu isu yang dibocorkan, tentu siasatan perlu dibuat. Adakah dengan mengarahkan siasatan dijalankan maka itu boleh dikira sebagai "pengakuan"?
Setelah siasatan dibuat barulah boleh diketahui sama ada dokumen itu palsu rekaan pembangkang atau tulen. Ini kerana pakatan pembangkang mempunyai sejarah memalsukan dokumen yang membabitkan imej PM. Ini terbukti dengan Tian Chua yang mengakui bahawa gambar PM bersama Antaltulya dan Razak Baginda dalam sebuah restoran adalah palsu dan rekaan beliau.
Kini hanya Mahfuz yang tahu bahawa dokumen itu tulen berdasarkan gerak PM kita. Nampaknya Mahfuz sudah jadi ahli tilik. Munkin beliau boleh dicopkan sebagai Ahli Nujum Pak Belalang PAS. Ahli Nujum temberang. Cuma dalam hal Pak Belalang, beliau hatinya jujur dan ikhlas dan Mahfuz, sebagai ahli politik, pasti tidak seperti Pak Belalang.
Berkenaan dengan kebocoran dokumen tersebut. Walau atas alasan apa pun, untuk tujuan apa pun, dokumen rahsia Kerajaan perlu disimpan rahsianya. Kalau dokumen itu betul tulen dan dibocorkan, maka keselamatan jutaan dokumen kerajaan pasti tidak terjamin. Jadi apa yang menghalang negara luar daripada mendapatkan dokumen tersebut sekiranya penjawat awam tiada rasa kerahsiaan ini? ini bukan berkaitan "peniup wissel", tetapi lebih kepada integriti penjawat awam yang turut diperjuangkan oleh Pembangkang.
Jadi akhirnya, Harakah hanyalah agen propaganda PAS. Kebenaran bagi mereka hanyalah bahan maklumat setengah masak, gosip dan juga dari mulut pemimpin mereka sendiri. Wartawan Harakah hanyalah manusia biasa. Hidup dalam dunia yang perlu wang. Demi sesuap nasi.
www.rencahmalaysia.blogspot.com
0 Responses:
Post a Comment