Mar 28, 2008

PAS-DAP-PKR: Pakatan yang membawa rebah?

Parti pembangkang mula bertukar nada

dipetik dari bharian.online

IPOH: Parti pembangkang terutama Pas dan DAP yang memainkan isu agama serta perkauman secara jelas untuk menawan hati pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-12 kini bertukar nada selepas memenangi pilihan raya serta menubuhkan kerajaan di Perak. Pengerusi Barisan Nasional (BN) Lumut yang juga Ketua Umno Bahagian Lumut, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir, berkata sebelum pilihan raya, Pas mengeksploitasi isu seperti haram bagi orang Islam memilih pemimpin daripada kalangan bukan Islam. Beliau berkata, dua hari sebelum pembuangan undi pada 8 Mac lalu, petugas Pas mengedarkan beribu-ribu risalah di masjid dan surau dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Panjang yang ditandingi calonnya, Mohammad Nizar Jamaluddin.

Katanya, risalah itu memetik fatwa daripada muzakarah ulama yang mengatakan haram bagi orang Islam memilih calon bukan Islam, iaitu Dr S Vasan daripada MIC yang mewakili BN. "Tetapi, bila sudah berjaya menjadi kerajaan, beliau (Mohammad Nizar) mengatakan beliau Menteri Besar untuk semua kaum. Sekarang baru kita nampak wajah sebenar mereka. "Saya ingin bertanya kepada Pas, apa terjadi dengan prinsip mereka untuk menubuhkan negara Islam teokratik seperti kempen mereka sejak bertahun-tahun lalu?" katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Mohammad Nizar yang memenangi DUN Pasir Panjang yang mempunyai lebih 65 peratus pengundi Melayu, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak ke-10 pada 17 Mac lalu. Dr Zambry berkata, DAP juga memainkan isu perkauman yang ketara sepanjang berkempen dengan mengatakan kepada orang Cina bahawa satu undi kepada MCA bermakna satu undi untuk Umno. Beliau berkata, kempen cara berkenaan menyebabkan pemisahan yang lebih jauh antara orang Cina dengan Melayu. "Kempen Pas dan DAP ini berjaya menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan orang Islam dan bukan Islam hingga pengundi menolak calon BN," katanya.

Dr Zambry berkata, komponen BN juga boleh memainkan isu perkauman untuk meraih undi dengan menjadi juara kaum masing-masing, tetapi tidak menggunakan isu itu kerana mementingkan keharmonian dalam negara. Beliau berkata, kini wujud perpecahan yang jelas di kalangan masyarakat mengikut parti dan kaum akibat permainan politik perkauman oleh Pas serta DAP. "Saya melihat tugas utama kerajaan campuran DAP, Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Perak sekarang ialah menyatukan semula kaum yang terpisah-pisah mengikut fahaman politik dan agama," katanya.

0 Responses: