Mar 27, 2008

PAK LAH : Perlukah UNDUR?






Dewasa ini melihat kepada perkembangan politik Malaysia selepas pilihan raya 12 ini macam-macam yang telah terjadi.

Kegagalan BN mendapat 2/3 yang juga merupakan kegagalan terbesar mereka semenjak tahun 1969 menjadikan parti Barisan Nasional ini kelihatan seperti kapal yang sedang dilanda ribut dan nakhodanya sedang terkial-kial mengemudi kapal itu ke tempat selamat.

Apabila anak-anak kapal juga mula berpaling tadah. Maka jadilah seperti cerita Singapura diserang Majapahit apabila pintu kota dibuka oleh Datuk Mendaliar kerana anaknya dihukum bunuh oleh Raja. Maka berulanglah jua kisah si pengkhianat Melaka yang bersengkokol dengan Portugis memberitahu kelemahan istana Melaka.

Kegagalan itu juga menyaksikan kokokan ayam-ayam yang tiba-tiba menjadi jantan. Ayam-ayam yang sebelum ini tunduk menikus takut kepada BN kini tiba-tiba berubah menjadi panglima berkeris mengherdik Pak Lah untuk undur. Mengapa ini terjadi? Adakah disebabkan oleh kurang kuasa rakyat yang menyokong BN atau hanya kerana rasa tidak puas hati disebabkan tidak mendapat ruang di kabinet?

Ayam-ayam yang tiba-tiba menjadi jantan ini mula melihatkan taji masing-masing. Sanggup menikam dikala sokongan paling perlu diberikan. Sanggup pula bermain sandiwara dengan pihak pembangkang. Sanggup pula menukar ideologi mereka. Adakah ini golongan yang dipilih rakyat? si ayam memang begitu, cakapnya tidak boleh dipercayai. Sepuluh yang dikata, satu pun tak boleh dipakai. Hari ini bercakap sokong, esok lusa berpaling wajah. Inikah golongan yang perlu disokong? tidak berpendirian. Gagah apabila berada dalam kalangan yang kuat, bacul apabila terasa diri menjadi lemah.

Jadi adakah harus Pak Lah undur? tepuk dada tanya selera. Seharusnya pada ketika ini baik Parti Barisan Nasional atau Pembangkang menumpukan hal pembangunan dan kebajikan rakyat. Bukan cuba mencari peluang mentadbir negara. Menunjukkan siapa yang mampu membuat yang satu lagi jatuh terduduk ke bawah.

Mereka yang menyalak mengherdik supaya si PM meletak jawatan adalah mereka yang kurang akal dan kurang cerdik. pasti mempunyai agenda tersendiri. Baik mencari nama, menyalakan impian yang lama ataupun demi membalas demi dendam.

Sepatutnya pada dan ketika ini Pak Lah harus diberikan pendapat bagaimana untuk meningkatkan semula imej kerajaan bukannya meminta beliau mengundur diri.

Benar, beliau telah banyak membuat silap. Kesilapan yang telah diingatkan oleh rakyat. Tetapi adakah kita sedar bahawa majoriti rakyat mahu beliau menerajui kerajaan? kalau tidak sudah tentu kerajaan BN akan tersungkur pada pilihan raya yang lalu. Bukankah masih ada negeri yang kuat menyokong kerajaan dan negeri yang dibawah pemerintahan Pembangkang mempunyai ramai wakil rakyat BN?. Kalau benar rakyat mahu BN tidak lagi berkuasa sudah tentu tiada wakil BN di negeri-negeri tersebut. Usah disebut tentang SPR dan pengundi hantu, apabila pembangkang menang adakah mereka menang kerana pengundi hantu?

Jadi, daripada kita menyuruh Pak Lah undur diri lebih baik kita memberi beliau peluang untuk memperbetulkan kesilapan beliau. Semua orang wajib diberikan peluang kedua. Oleh itu berikan Pak Lah waktu untuk membuat pembaharuan. Sekiranya Pak Lah dalam masa 2 tahun ini gagal membuat pembaharuan maka haruslah beliau disingkirkan dalam UMNO.

Pada mereka yang menanguk di air keruh, insaflah dan hentikan retorik mimpi itu. Berpolitik dan jawatan anda adalah untuk rakyat. Bukan untuk kepentingan diri. Hanya kerana kalah sekali riuh hendak menukar apa yang ada. Andaikata BN menang dalam PRU12, adakah anda akan tetap menyalak?

Bagi kerajaan PKR-DAP-BN, perikatan anda masih lemah. Tidak diuji betul-betul. Adakah benar perikatan anda kuat atau sekadar sandiwara politik? Rakyat masih menanti tindakan-tindakan anda. Kejayaan anda mendapat undi yang sebegitu banyak pada pilihan raya kali ini tidak menjamin kemenangan anda sekali lagi. Anda harus bekerja lebih keras. Kalau rakyat melihat anda gagal dan lemah dalam menjalankan amanah yang diberi maka pada pilihan raya ke 13 nanti mungkin anda akan disembelih semuanya. Jadi tumpukan perhatian pada kebajikan dan keselesaaan rakyat anda. Berlaku adil dan berhemah dalam pebelanjaan negeri. Jangan membazir.

Pada DSAI, apa yang dilihat pada wakil rakyat BN. Sekiranya mereka ini melompat parti, adakah mereka ini boleh diterima? atas alasan apa pun golongan yang melompat parti adalah ibarat katak yang tidak boleh dipercayai apatah lagi dirai kesetiaan mereka. Bayangkan bertahun-tahun didalam BN tiba-tiba melompat ke pembangkang. Kenapa sekarang? kenapa melompat selepas pilihan raya? mengapa tidak melompat sebelum pilihan raya? jawapanya adalah kerana mereka yakin BN menang dan kuat. Kalau BN menang mereka ini tidak akan melompat parti. DSAI, jangan kerana mengejar jawatan dipuncak anda hilang pedoman. Kalau benar anda bagai dikata, nanti jawatan itu pada PRU13. Lebih budiman mendapat jawatan itu dalam PRU13 dengan restu rakyat daripada mendapat jawatan pada masa ini hanya disebabkan pertelingkahan orang lain.

Kepada BN. Nah, anda sudah melihat betapa anda silap. Jangan berada lagi dalam zon "comfort" anda. Rakyat telah mengigatkan anda. kalau mereka mahu kuasa bertukar tangan tentu PRU12 anda kalah semuanya. Mulai sekarang tekad di hati untuk bekerja demi rakyat. Bukan sebaliknya. Isu-isu mesti ditangani dengan berhemah. Betulkan kesilapan anda. Masih ada peluang dan masa untuk membetulkan kesilapan. Bangun bersama-sama PM anda untuk Malaysia yang lebih gemilang. Inilah masa untuk membuktikan kepada rakyat dan pembangkang bahawa janji-janji BN adalah janji betul. Akan ditunaikan. Inilah masa untuk menunjukkan bahawa kesejahteraan rakyat dan negara mengatasi ideologi politik. Inilah masa untuk bekerjasama dengan pembangkang membawa pembangunan kepada negara. Jadikan anda sebagai contoh tauladan kepada rakyat.


Harus diingat anda tidak kalah, cuma gagal. Banyak beza antara kalah dan gagal. Kalah merujuk kepada tewas. Tidak mampu untuk berjuang dan menyerah kalah. Manakala gagal merujuk kepada silap strategi dan salah anggap kemampuan diri. Nah, anda tidak tewas tetapi gagal sahaja. Anda harus bangkit dari abu-abu kegagalan dan mula membentuk diri anda. Kegagalan merupakan guru terbaik untuk anda. Selami hati rakyat, mula berkenalan dengan rakyat. Mudah-mudahan anda akan sedar kesilapan dan mampu bangkit semula.

kepada si katak dan kodok dengarkan lagu ...."lompat si katak lompat, lompat lah tinggi2, silap-silap lompat boleh kena undi dan terus mati..."

0 Responses: