PRU ke 12 sudah berakhir. Debu-debu telah pun jatuh ke tanah. Sepanduk sudah diturunkan. YB juga sudah dipilih. Lembah Pantai yang mempunyai populasi penduduk Melayu antara teramai di Lembah Kelang. Kawasan seperti Pantai Dalam, Kampung Haji Abdullah Hukum, Kerinchi dan Bangsar merupakan antara kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk Melayu yang tinggi.
Semenjak dulu kala kawasan ini memang mempunyai sejarah yang menarik untuk Pilihan Raya. Kawasan Lembah Pantai tidak pernah surut dari dijamah kontrovesi apabila tiba musim Pilihan Raya. Dari zaman Tun Salleh Abas bertanding untuk Pembangkang hinggalah ke Zaman Nurul Izzah melawan Dato’ Shahrizat, kawasan Lembah Pantai memang hangat.
Setiap kali pilihan raya, tiap kali juga BN khususnya UMNO menang dalam kawasan Lembah Pantai. Akan tetapi PRU12 ini menyaksikan angin lain. Angin yang boleh menjatuhkan seseorang YB.
Jadi Apabila Dato’ Shahrizat tersungkur di Lembah Pantai soalan yang ditanya adalah mengapa Dato’ Shahrizat boleh tewas? adakah disebabkan oleh faktor "anuarisme"? atau pun kegagalan jentera UMNO/BN di kawasan itu?
Dalam kupasan Bahagian Pertama ini kita akan lihat faktor kejatuhan UMNO/BN di Lembah Pantai dari mata dan pandangan anak watan Lembah Pantai.
BAHAGIAN PERTAMA
Angin perubahan
Pada awal tahun 2008, terdapat desas desus bahawa pilihan raya akan diadakan. Maka angin perubahan mula melanda masyarakat Lembah Pantai. Dari pakcik penjual ikan hinggalah ke pegawai kerajaan yang tinggal di Lembah Pantai. Makcik-makcik yang sebelum ini tidak mempedulikan hal ehwal politik mula menukar tajuk gosip, dari perihal anak si anu yang ditangkap merempit ke isu menantu pak lah yang dikatakan ejen si temasik. Angin perubahan ini juga semakin kencang melanda apabila kelihatan Ahli parti pembangkang sibuk berhimpun di kedai-kedai kopi membincangkan strategi pilihan raya. Ahli UMNO/BN kelihatan sibuk berbincang tentang imbuhan yang akan dicapai untuk projek pasang bendera dan sepanduk.
Angin perubahan ini bukan sahaja melanda kegiatan gosip dan aktiviti melepak di Lembah Pantai tetapi juga melibatkan kecenderungan anak-anak muda yang pertama kali mengundi (first time voter (FTV)). Jika dulu mereka ini tidak berminat melibatkan dalam cakap-cakap politik tetapi kini mereka mula menunjukkan minat. Cyber Cafe mula dipenuhi anak-anak muda ini yang khusyuk melayari laman-laman web untuk mendapatkan maklumat baru tentang pilihan raya. Media perdana tidak lagi dipedulikan.
Menjelang 13 hari bulan Februari, tatkala sehari selepas Perdana Menteri (PM) Malaysia menafikan bahawa beliau akan membubarkan Parlimen, maka secara rasminya PM, tepat jam 12.00 tengah hari mengumumkan pembubaran Parlimen dan bermulanya kempen agresif media perdana untuk Pilihan Raya.
Sebelum itu, lebih tepat sebulan sebelum pengumuman pilihan raya, Lembah Pantai dikejutkan dengan menurapan jalan baru dan yang paling jelas arahan pemindahan rumah panjang DBKL yang membabitkan lebih kurang seribu keluarga ke rumah MTEN PPR kerinci.
Arahan pemindahan ini dilakukan secara tidak teratur dan terburu. dan Bermulalah kisah kekalahan YB Dato’ Shahrizat Abdul Jalil di Lembah Pantai.
Sebab kalah 1 : Pemindahan
Mungkin nampak remeh, tetapi pemindahan yang tidak teratur dan terburu-buru ini merupakan alasan pertama mengapa YB Shahrizat harus kalah.
Sepanjang masa pemindahan dijalankan dan juga acara-acara sebelum pemindahan dijalankan, YB Dato’ Shahrizat gagal menghadirkan diri. Gagal bercampur dengan masyarakat. Gagal menyelami kerunsingan penduduk yang berpindah ini.
Latar belakang rumah panjang
Rumah Panjang Pantai Dalam (rumah panjang) merupakan rumah teres kayu plywood yang disambungkan antara satu sama lain. Terdapat lebih kurang 15 pintu rumah bagi setiap blok. Setiap kawasan rumah panjang dibahagikan antara blok-blok ini. Dan setiap blok mempunyai zon tersendiri. Rumah Panjang mempunyai zon A, B, C, D dan E. Setiap zon mempunyai lebih kurang 32 blok. Rumah ini mempunyai 2 bilik, satu ruang tamu, satu ruangan memasak dan satu bilik air. Sewa rumah panjang amat murah iaitu RM 45.00 sebulan.
Rumah panjang adalah dibawah kelolaan Jabatan Perumahan DBKL. Ia mula dibina pada awal tahun 1990'an. Rumah panjang ini merupakan rumah transit sebelum penduduk diberikan rumah tetap. Penduduk dijanjikan hanya tinggal selama 2 tahun dirumah panjang sebelum ditempatkan dirumah tetap/awam DBKL. Tetapi janji tinggal janji. Ada dikalangan penduduk yang telah tinggal lebih dari 20 tahun. Ada antara penduduk awal rumah panjang ini sudah ke rumah yang akhirat akibat menantikan rumah awam mereka.
Janji untuk perpindahan telah dibuat sebanyak 3 kali iaitu pada pilihan raya 1995, 1999 dan pilihan raya 2004. Semuanya janji tinggal janji. Penduduk yang semakin tidak percaya kepada YB Dato’ Shahrizat mula melihat ke arah pembangkang yang dijangka mampu membawa masalah perumahan ini kepada pihak atasan.
UMNO/BN yang melihatkan hal ini yang boleh membawa rebah kepada mereka, mula menjalankan aktitivi untuk memindahkan penduduk ke PPR kerinci.
Sedikit tentang rumah MTEN PPR kerinci.
Perumahan awam PPR kerinci dibina dibawah seliaan DBKL dengan modal dari MTEN (Majlis Tindakan Ekonom Negara).Ia mempunyai 6 blok dengan setiap blok mempunyai 18 tingkat. Menurut DBKL rumah PPR ini adalah untuk tujuan sewaan sahaja dan bukan untuk di jual. Pada awalnya PPR ini dijangkasa siap setahun selepas Kondo Rakyat dibina tetapi disebabkan oleh kegawatan ekonoi pada 1996 maka pembinaannya dihentikan. Selepas beberapa kali bertukar kontraktor alih-alih pada bulan Januari 2008 maka YB Dato’ Shahrizat berkumandang mencanangkan bahawa PPR ini siap diduduki. Untuk urusan pemindahan, setiap penduduk akan diberikan RM 1000. Itu kata YB Dato’ Shahrizat.
Disebabkan rumah PPR ini hanya untuk disewa, maka UMNO kawasan rumah panjang mula sibuk meminta penduduk rumah panjang bersatu bersama-sama mereka. Slogan UMNO ialah supaya penduduk bersatu meminta rumah tetap bukan rumah sewa. Gimik inilah yang akhirnya memakan diri UMNO.
Walaupun UMNO dengan gimik yang meminta penduduk supaya jangan berpindah ke PPR selagi tidak mendapat status rumah tetap, namun pada awal bulan Februari penduduk diarahkan berpindah. Urusan pemindahan terus dijalankan. Penduduk diminta membayar sewa setengah bulan untuk rumah PPR ini yang berjumlah RM 75. Sewa sebulan adalah RM 124. pada hari cabutan rumah PPR tiada bayang ahli UMNO hadir. Penduduk mula merasakan sesuatu yang lain. Percaturan UMNO rumah panjang mula terlihat. Ada penduduk menyatakan melihat ketua UMNO bahagian rumah panjang terus ke kaunter cabutan menyerahkan borang sewaan. Penduduk masih lagi beratur. masih menunggu borang rumah tetap.
3 hari sebelum pemindahan Persatuan penduduk rumah panjang mengadakan perhimpunan tergempar. Tiada wakil UMNO. cakap-cakap liar mula kedengaran. UMNO menipu penduduk. Janji untuk bersatu hilang. Yang ada cuma cakap bahawa UMNO dan anak beranak telah mendapat seorang satu rumah sewa. UMNO diberikan tingat satu.KRONI kata penduduk. Sentimen anti UMNO kian kebal. Ucapan demi ucapan provokasi kepada kepada UMNO mula terlihat. Penduduk juga dimaklumkan oleh Badan Bertindak Penduduk bahawa rumah PPR ini peruntukan hanya satu bagi setiap keluarga. Jadi kalau satu rumah mempunyai dua kelamin mereka akan tetap menerima satu rumah PPR sahaja. UMNO dan anak beranak juga yang dapat seorang satu rumah.
Hari pemindahan. Penduduk diarahkan pindah pada 5 Mac 2008. Pada hari pemindahan, tiada lori DBKL kelihatan. Penduduk terpaksa mengusung sendiri perabot rumah. Apabila ditagih RM 1000 untuk pemindahan jawapan pejabat kecil DBKL di PPR kerinci, "kami tiada duit, mana ada duit nak beri, itu janji orang politik, mengapa percaya".
Maka inilah “turning point” kepada kekalahan UMNO. Pembelotan UMNO terhadap penduduk. Kegagalan YB shahrizat turun padang melihat kesusahan penduduk. Dan janji yang tidak ditepati. Lebih teruk lagi apabila cerita ini mula tersebar ke merata ceruk Lembah Pantai. Kawasan kerinci yang juga dalam proses pemindahan merasa kecut. Mereka juga bersama-sama penduduk rumah panjang mengatur langkah mengajar si pembelot.
Kempen anti UMNO mula berjalan secara senyap dikalangan penduduk. Pada malam pilihan raya, apabila diketahui bahawa YB Dato’ Shahrizat tersungkur di Lembah Pantai, maka berkibarlah bendera pembangkang buat pertama kali di PPR kerinci.
Ini sebab pertama mengapa YB Dato’ Shahrizat kalah di Lembah Pantai.
Bahagian Kedua akan mengupas tentang sebab-sebab lain YB itu kalah.
Mar 26, 2008
Mengapa Dato' Seri Shahrizat kalah di Lembah Pantai : Bahagian Pertama
amirrash Mar 26, 2008
Subscribe to:
Post Comments (RSS)
1 Responses (Leave a Comment):
Pakatan masih lagi menakluk lembah pantai,orang2 lama yang menetap di sini masih lagi terluka walaupun sudah 5 tahun berlalu
Property Info
Post a Comment