Mar 31, 2008

KEMBALIKAN FUNGSI SEBENAR PARLIMEN MALAYSIA

Dipetik dari www.Kulitpisang.com

20 lawan 199, satu keadaan yang cukup tidak adil dan terlalu mudah. Sekarang 82 lawan 140, satu keadaan yang cukup berbeza. Angka ini merujuk kepada perbandingan bilangan ahli parlimen pembangkang dan Barisan Nasional pada tahun 2004 dan 2008.

Pada tahun 2004, pembangkang hanya menguasai sekelompok kecil diruang disudut Dewan Rakyat, tetapi selepas pilihanraya baru-baru ini jelas menunjukkan peningkatan yang cukup ketara.

Pembangkang pada kali ini membentuk sebuah kelompok yang agak besar berbanding tahun 2004 yang lalu. Tidak hanya membentuk kelompok yang lebih besar, malahan beberapa "heavyweight" yang suaranya tidak kedengaran sejak 4 tahun yanag lalu bakal berkumandang didalam dewan rakyat kali ini.

Pada kali ini juga, ahli dewan rakyat Barisan Nasional terpaksa kembali berhadapan dengan beberapa "heavyweight" pembangkang iaitu Hadi Awang, Hassan Ali, Saifudin Nasution, Lim Kit Siang dan anak kepada Karpal Singh yang dikhabarkan lebih singa daripada bapanya iaitu Gobind Singh Deo.

Saya secara ikhlas tidak nampak ini adalah satu kelemahan dan ancaman kepada Barisan Nasional. Setidak-tidaknya kita dipaksa untuk terus bekerja keras dan tidak berada di zon yang selesa.

Pada tahun 2004, ramai diantara ahli parlimen yang gagal menunaikan tanggungjawab menghadirkan diri didalam dewan. Malah ada diantara Menteri, Timbalan Menteri dan Setiausaha Parlimen tidak hadir bagi menjawab soalan-soalan yang diajukan kepada kementerian masing-masing.

Pendek kata, jurucakap-jurucakap Barisan Nasional sering mengambil mudah, hanya hadir didalam pembentangan bajet serta perasmian persidangan oleh DYMM Yang DiPertuan Agong sahaja.

Kita sebenarnya agak jelak dan bosan dengan kualiti perbahasan. Rata-ratanya bersandarkan kepada "common sense" tidak didokongi dengan fakta dan bukti-bukti yang sahih. Malah ada diantara ahli parlimen mengambil kesempatan menunjukkan kehebatan mereka berpidato walaupun isinya tiada ataupun langsung tidak relevan.

Apa yang paling menyedihkan adalah ahli parlimen sanggup menonjolkan sikap kurang sopan dan biadap dengan mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya diungkapkan.

Bagi barisan pembangkang pula, inilah peluang mereka untuk membuktikan kemampuan sebenar "kejaguhan" mereka. Mereka kali ini tidak semata-mata bercakap dipentas ceramah, tetapi mereka bercakap didalam sebuah medium kerajaan, sebuah medium merencana hala tuju sesebuah Negara.

Oleh yang demikian ahli dewan pembangkang perlu mengubah imej hujah mereka. Adalah diharapkan ahli pembangkang perlu melihat angkubah perdebatan dan hujjah daripada aspek untuk menambah baik system yang sedia ada, bukannya berunsurkan fitnah, sabotaj dan pembohongan semata-mata.

Kehebatan bercakap bukanlah ukuran, tetapi keupayaan menterjemahkan masalah rakyat dan pada masa yang sama memberikan langkah penyelesaian yang praktikal dan ikhlas.

Rata-ratanya, sebilangan orang merasa cukup gembira dan tidak sabar-sabar untuk melihat persidangan dewan rakyat pasca pilihanraya umum ke-12.

Mereka juga tidak sabar-sabar untuk melihat suasana cabar-mencabar, herdik, tengking, dan tuduh-menuduh. Bagi saya suasana begini tidak akan membawa kita kemana-mana, malah ianya bakal merugikan rakyat.

Apa yang saya ingin lihat adalah pakatan Kerajaan-Pembangkang yang lebih melihat kepentingan rakyat melebihi kepentingan parti masing-masing.

Jangan jadikan Parlimen sebagai medan perang ataupun medan membuat perhitungan peribadi yang sudah semestinya akan membawa pengakhiran yang akan merugikan rakyat yang telah memilih wakil masing-masing.

Hakikatnya, fungsi parlimen perlu kembali diperbetulkan. Parlimen juga perlu kembali berfungsi sebagai medium untuk melihat kepentingan rakyat dan Negara melebihi segala-galanya.

0 Responses: