Jul 23, 2008

DNA : Antara untung dan rugi parti pembangkang


DNA : Antara untung dan rugi parti pembangkang

Written by Hassan Md Hussein (Sandakan)


Sunday, 20 July 2008 15:03


ISU sampel DNA nampaknya berpanjangan. Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim enggan membenarkan sampel itu diambil darinya. Katanya, dia berbuat demikian kerana nasihat dari peguam dan pakar luar negara.




Ketika Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar mendapat liputan meluas dengan isu Anwar-polis-DNA ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta Anwar Ibrahim supaya memberikan sampel DNA untuk membantu siasatan polis berhubung dakwaan meliwat, jika benar dia (Anwar) tidak melakukan perbuatan itu.


Syed Hamid dipetik sebagai berkata; "hanya DNA saja yang boleh membuktikankebenaran Anwar," menyebabkan barisan peguam Anwar amat kurang senang dengan kenyataannya itu yang dianggap sebagai 'mengarah polis bekerja dalam tekanan'.


Kenapa isu DNA ini hingga menyebabkan Pak Lah terpaksa memberikan komennya? Tentu ia sudah menjadi isu umum yang semua orang memperkatakannya. Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga dipetik sebagai berkata, dia tidak bersetuju DNA Anwar di ambil untuk tujuan penyiasatan.


Ketika Anwar dan barisan peguamnya sibuk mempertahankan diri, enggan memberikan sampel DNA, MP Jerlun, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir dan MP Rembau, Khairy Jamaluddin meminta Anwar jangan berdolak dalih dalam hal ini, sebaliknya menyegerakan memberi kerjasama kepada polis dalam isu DNA ini.


Namun, Anwar yang sudah memulakan penjelajahannya terus menyentuh isu 'dia diarahkan berbogel' sedangkan Pengarah Hospital Kuala Lumpur sudah menafikannya. Anwar juga menyentuh isu sakit pinggang, tidur atas simen dan Datuk Seri Wan Azizah terpaksa menghantar tuala untuk menjadikan alas tempat tidur, isu yang mahu diselesaikan, masih tidak selesai juga.


Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar pula memberitahu, polis sedang menimbangkan mendapat perintah mahkamah untuk mendapatkan sampel DNA Anwar dan dalam masa yang sama, rakyat tertanya-tanya kenapa susah sangat Anwar hendak memberikan sampel DNA nya untuk tujuan penyiasatan?


Anwar, tetap memainkan isu takut DNA nya akan dimanipulasi pihak tertentu. Dalam masa yang sama, satu sumber lain pula memberitahu, Anwar sudah memberitahu polis bahawa tarikh yang disebut bekas pembantunya Mohamad Saiful Bukhari Azlan, ketika kejadian liwat itu berlaku, dia tidak berada di tempat yang disebutkan.


Sejauh mana cerita ini benar, tiada siapa dapat mengesahkannya tetapi banyak pihak yang bersimpati dengan Anwar yakin, Anwar ada bukti-bukti 'alibi' yang memaksa polis mendapatkan maklumat lanjut dari pengadu dalam kes ini.


Menteri Kesihatan, Liow Tiong Lai pula dipetik sebagai berkata, Anwar perlu akur dengan permintaan polis dan pengambilan sampel DNA adalah prosedur biasa dalam satu-satu siasatan kes rogol atau liwat.


Ketika beberapa pemimpin pembangkang macam keliru sama ada mahu mempertahankan Anwar atau tidak isu ini, Anwar nampaknya makin tersisih apabila dia menimbulkan pelbagai prasangka dengan keengganannya untuk memberikan kerjasama kepada polis bagi mendapatkan sampel DNA nya.


Pemimpin-pemimpin pembangkang takut-takut kalau, ketika mereka bermati-matian mempertahankan Anwar, tiba-tiba Anwar disabitkan dengan kesalahan meliwat, akan menjejaskan parti yang mereka dokong. Sebaliknya, jika mereka cuba-cuba menjauhkan diri dari isu ini, dikhuatiri pula, Anwar tidak disabitkan dengan dakwaan melakukan kesalahan liwat, menyebabkan mereka kerugian.


Pak Lah, ketika mengulangi jaminan bahawa tiada sebarang konspirasi atau tindakan untuk menganiayai Anwar. Pak Lah berkata demikian bagi menjawab reaksi Amerika Syarikat dan negara lain yang menyatakan kebimbangan berhubungan siasatan kes terbaru penasihat PKR itu.


"Tak ada…tak ada sebarang konspirasi untuk menganiayai dia. Tak ada. Tak usah percaya," kata Pak Lah. Anwar sebelum ini mendakwa tuduhan terbaru terhadap dia dibuat pihak-pihak tertentu untuk menghalangnya daripada kembali aktif dalam politik.






0 Responses: