Bahasa Melayu bakal jadi sejarah di P. Pinang?
SAYA adalah anak jati Pulau Pinang. Dilahir dan dibesarkan di Pulau Pinang dengan persekitaran sebelumnya adalah bahasa Melayu menjadi bahasa utama seluruh negeri.
Selama berdekad, saya belum pernah berjumpa atau mendengar ada orang Cina tempatan mahupun pelancong Cina yang tersesat di negeri ini kerana tidak faham papan tanda yang ditulis menggunakan bahasa Melayu.
Oleh sebab itu, saya benar-benar tidak memahami atas alasan apa lagi bekas ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Dr. Thor Teong Ghee inginkan bahasa Mandarin diletakkan pada papan tanda jalan negeri ini.
Saya menuntut penjelasan Teong Ghee, berikan statistik orang tempatan ataupun pelancong China yang tersesat di Pulau Pinang semasa ketiadaan bahasa Mandarin pada papan tanda jalan negeri ini.
Sayugia diingatkan kepada semua terutamanya orang Melayu, sebelum ini alasan terdapatnya penduduk Cina tempatan tidak tahu bertutur dan memahami bahasa Melayu serta kedatangan pelancong dari China sebagai alasan utama untuk menghalalkan perkara ini.
Sekarang diberikan pula alasan bahawa bahasa Mandarin ini perlu kerana Georgetown telah diiktiraf sebagai tapak warisan dunia. Nampak sangat di sini pembohongan besar yang sedang dilakukan. Apa kena mengena pengiktirafan oleh UNESCO ini dengan keperluan bahasa Mandarin di Pulau Pinang?
Seperkara lagi, rakyat Malaysia apakah ini jika masih tidak faham dan bertutur dalam bahasa Melayu sesudah 50 tahun negara merdeka? Jika berterusan seperti ini, sampai bila kaum Cina Pulau Pinang akan dapat memahami bahasa Melayu?
Sudahlah banyak papan tanda perniagaan serta kain rentang di negeri ini dalam bahasa Mandarin, nama jalan pun hendak diMandarinkan juga?
Kepada pihak yang berkenaan, mohon beringat, jangan difikir kaum Melayu tidak dapat membaca gerak langkah sedemikian.
Saya menyeru semua orang Melayu terutama Melayu Pulau Pinang tanpa mengira fahaman politik bangkit menentang usaha terbaru yang dilakukan di Pulau Pinang sekarang.
Apa hak Teong Ghee serta parti Gerakan untuk meminta semua kaum saling hormat menghormati antara satu sama lain jika mereka sendiri mencampakkan perasaan hormat terhadap kaum lain ke dalam tong sampah?
Adakah kerana majoriti kaum di Pulau Pinang adalah Cina maka apa sahaja perkara yang menyentuh kepentingan kaum terbabit akan dianggap sebagai tidak menghormati kaum lain serta perkauman? Maka apa sahaja yang berkaitan dengan kaum terbabit perlu diutamakan segera?
Dalam hal ini saya melihat nasib orang Melayu umpama mentimun yang dilanyak oleh durian. Sehinggakan bahasa yang ada pun ingin disisihkan.
Ditambah pula perselisihan sesama orang Melayu yang membuatkan kita benar-benar menang sorak kampung tergadai. Jika beginilah keadaannya, bahasa Melayu bakal menjadi sebuah sejarah 50 tahun lagi dan orang Melayu Malaysia akan mengalami nasib yang sama seperti Melayu Singapura.
Saya sekali lagi merayu semua kaum Melayu di Malaysia, bersatulah agar segala kepincangan ini dapat diperbetulkan.
PUTERA TANAH MELAYU
Pulau Pinang
Dipetik dari www.utusan.com.my/forum
p.s : Adakah Pulau Pinang akan jadi Singapura ke 2? : Tepuk Dada Tanya Selera.
Sah! Kes Najib Razak Cacat
-
Pengakuan Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini berpotensi membuka mata
ramai.Beliau menyatakan bahawa pendakwaan terhadap beberapa kes susulan PRU
2018 a...
2 days ago
1 Responses (Leave a Comment):
Tuan,
Sebenarnya perihal bahasa Melayu ini sudah tidak wajar menjadi isu kerana menjadi antara persetujuan terawal politik dalam hubungan PUTERA-AMCJA yang memuktamadkan bahawa Melayu sebagai rupa bangsa dan citra warganegara bagi Malaysia. Inilah antara kontrak sosial terawal penduduk Persekutuan Tanah Melayu (kini Malaysia) yang dapat dilihat dalam manifesto pilihanraya pertama pada tahun 1955 oleh Perikatan UMNO-MCA-MIC iaitu "menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi dalam masa sepuluh tahun sesudah merdeka”.
Namun kini setelah kemerdekaan berusia setengah abad sejauhmana kata dikota? Ketika semua orang menunding jari telunjuk pada kaum lain saya rasa 3 jari yang lain akan menunjuk pada batang tubuh Melayu itu sendiri yang mengkhianati warisan bahasa leluhur mereka. Jawapannya saya kira dalam satu frasa dan premis iaitu "Memelayukan Bahasa dan Membahasakan Melayu".
Post a Comment