Feb 3, 2009

UPDATE: SPR MUNGKIN KENA SAMAN?

Speaker boleh cabar, DAP beri SPR 48 jam


[DIKEMAS KINI] PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil pendirian terbuka jika Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak mahu mencabar keputusan SPR yang memutuskan tidak wujud kekosongan bagi kerusi Behrang dan Changkat Jering.
DAP, salah satu komponen Pakatan Rakyat pula menyifatkan keputusan SPR pagi tadi sebagai tidak demokratik dan bertentangan dengan perlembagaan.

Terdahulu, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, Speaker DUN Perak mempunyai hak untuk mencabar keputusan itu jika beliau tidak berpuas hati.

"Kita negara demokrasi. Semua orang ada hak untuk mencabar dan mahkamahlah yang menentukan," kata beliau selepas selepas mesyuarat khas SPR berhubung isu peletakan jawatan dua ADUN iaitu Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd. Osman Jailu (Changkat Jering).
SPR hari ini memutuskan bahawa kedua-dua ADUN tersebut masih penyandang kerusi DUN terbabit kerana wujud keraguan dalam surat peletakan jawatan yang dikemukakan oleh Speaker DUN Perak, N. Sivakumar pagi semalam.

Sivakumar semalam menghantar surat memaklumkan kekosongan DUN Behrang dan Changkit Jering kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri selepas ADUN bagi kawasan tersebut, Jamaluddin dan Mohd Osman dikatakan telah menyerahkan surat peletakan jawatan mereka sebagai wakil rakyat di rumah beliau pada 5.45 petang Ahad lalu.

Bagaimanapun, kedua-dua ADUN berkenaan pada hari yang sama turut menghantar salinan surat yang menafikan mereka meletak jawatan.

Ditanya sama ada SPR memberatkan mana-mana surat untuk membuat keputusan, Abdul Aziz berkata, pihaknya meneliti kedua-dua surat tersebut secara sama rata.
"Ini bukan soal memberatkan mana-mana. Kita mengambil kandungan kedua-dua surat itu secara sama rata daripada orang yang sama." katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi DAP, Lim Kit Siang berkata, SPR telah bertindak di luar perlembagaan dalam keputusannya tidak mahu mengiktiraf notis makluman kekosongan yang disampaikan oleh Sivakumar.

"Sebagaimana dijelaskan oleh bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, fungsi SPR ialah bertindak selaras dengan notis pemakluman rasmi Speaker Perak mengenai kekosongan yang wujud dan mengadakan pilihan raya kecil dalam tempoh 60 hari," kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Lim yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timor di Perak berkata, bukan urusan untuk SPR bertindak dan merampas jurisdiksi mahkamah dalam mempertikaikan keputusan Speaker DUN negeri itu.
Dalam soal ini, cabaran perundangan seharusnya datang daripada kedua-dua ADUN berkenaan jika mereka mahu mencabar kesahihan surat letak jawatan masing-masing, kata beliau.
Sehubungan itu, kata beliau, semua opsyen akan dipertimbangkan untuk menyelesaikan krisis politik di Perak

dipetik dari: www.mstar.com.my
www.rencahmalaysia.blogspot.com

0 Responses: