Minda Pengarang: Kemelut politik Perak perlukan penyelesaian
KERAJAAN Pakatan Rakyat di Perak kini berdepan kemelut politik yang dilihat boleh menjejaskan jangka hayat perkongsian kuasa antara DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas yang baru setahun jagung mentadbir negeri itu. Kehilangan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR, Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) sebelum Tahun Baru Cina, yang berakhir dengan pengumuman peletakan jawatan mereka oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Perak, V Sivakumar, kelmarin, menyebabkan senario politik Perak mula berkecamuk dan menimbulkan tanda tanya. Dua Adun berkenaan pula menafikan mereka menghantar surat peletakan jawatan walaupun Sivakumar dilaporkan memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam mengenai kekosongan kedua-dua kerusi berkenaan.
Ternyata kedudukan kerajaan negeri sekarang tidak pernah stabil sebaik memperoleh kuasa pada pilihan raya umum Mac tahun lalu. Pentadbiran negeri bukan saja berdepan masalah PKR, malah DAP yang mempunyai 18 Adun turut menghadapi kemelut berikutan wujud puak yang menentang Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham dan Setiausaha DAP negeri, Nga Kok Ming, yang kebetulan sepupu kerana dikatakan terlalu berkuasa. Tindakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengeluarkan surat amaran akan kehilangan kerusi DUN sekiranya tidak dapat dikesan dalam tempoh 24 jam kepada Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Perak merangkap Adun Jelapang, Hee Yit Fong yang dilaporkan menghilangkan diri dan gagal dihubungi, turut mencetuskan ketegangan dalam parti itu.
Senario ini menyebabkan rakyat Perak semakin bingung mengenai kedudukan kerajaan negeri sekarang. Rakyat bimbang jika kemelut politik Perak berlarutan untuk tempoh yang panjang. Tindakan PKR menggunakan surat peletakan jawatan tidak bertarikh yang ditandatangani calon sebelum pilihan raya, mengingatkan kita krisis politik Sabah pada zaman pemerintahan Berjaya, di bawah pemerintahan Datuk Harris Salleh pada 1976 dan Parti Bersatu Sabah pimpinan Datuk Seri Pairin Kitingan pada 1985, yang memperlihatkan calon wakil rakyatnya perlu menandatangani surat peletakan jawatan Adun bagi mengelakkan mereka lompat parti selepas menang pilihan raya.
Kerajaan Sabah yang dikuasai PBS pada 1985 terpaksa membubarkan DUN pada 1986 bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan semula berikutan dua Adun, iaitu Ignitius Malanjun (Moyog) dan Thomas Anggang (Bingkor) menghilang diri di Kuala Lumpur dalam ura-ura melompat parti.
Pakatan Rakyat Perak tidak mempunyai banyak pilihan menyelesaikan kemelut sementara menunggu pilihan raya kecil bagi dua kerusi berkenaan diadakan. Mereka boleh membubarkan Dewan Undangan Negeri bagi membolehkan rakyat memilih semula kerajaan baru atau membiarkan keadaan politik terumbang ambing ketika rakyat berhadapan dengan kemelut ekonomi yang mencengkam sekarang.
dipetik dari: www.bharian.com.my
www.rencahmalaysia.blogspot.com
usik-usik:
apa sudah jadi? mana pakatan? mana dia gabungan? kini sudah terlerai sama seperti mimpi yang berlainan dikongsi bersama.
akhirnya, apa yang diduga terjadi jua
melayu dan bukan bangsanya bercakaran akhirnya
inikah pakatan gabungan serikandi rakyat terpilih ?
atau sandiwara penyejuk jiwa-jiwa yang dambakan kemuliaan diri?
kini kita sedar, lahirnya suatu pemuafakatan itu
bukan dari lidah dan gigi yang manis berkata-kata
tetapi dari prihatian dan faham diri tentang diri sendiri
dan akhirnya
yang pakat itu jadi pekat, dan kemudian tidak dapat ditelan
lalu diludahkan keluar rongga nafas.
inilah dia. perak dan kemelutnya.
Feb 3, 2009
Kemelut politik di perak: pakatan yang kian terlerai!
amirrash Feb 3, 2009
Subscribe to:
Post Comments (RSS)
0 Responses:
Post a Comment