Sep 2, 2008

TAHNIAH KEPADA RAKYAT MELAYU PERAK: KERAJAAN PR BERJAYA MENAMBAT HATI PENGUNDI CINA!

Beri tanah sekolah Cina luar biasa

Oleh Abdul Razak Din

IPOH 1 Sept. – Langkah Kerajaan Negeri Perak menganugerahkan tanah seluas 400 hektar kepada sekolah persendirian Cina disifatkan sebagai sesuatu yang luar biasa dan belum pernah dilakukan sebelum ini.

Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail berkata, jika pun mahu dilakukan, ia seharusnya turut diberikan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan sekolah-sekolah Tamil yang rata-ratanya masih berkeadaan daif.

Beliau yang juga seorang pendidik percaya langkah Kerajaan Perak itu mempunyai motif untuk menarik sokongan politik.

Katanya, jika dilaksanakan ia boleh meningkatkan jurang dan tahap pendidikan antara kaum Cina dengan masyarakat Melayu serta India.

''Saya fikir dengan pemberian tanah seluas 44 hektar kepada setiap sekolah persendirian Cina itu, ia mampu menjana pendapatan seperti melaksanakan projek komersial atau ladang sawit supaya sekolah berkenaan mempunyai kemampuan kewangan sendiri dan memperkukuhkan lagi operasi sekolah persendirian Cina untuk menjadi lebih berdaya maju.

''Setahu saya, sekolah-sekolah Cina tidak perlu bantuan lagi kerana mereka mempunyai lembaga sekolah yang cergas dan aktif dalam mencari sumber kewangan yang mencukupi untuk membiayai persekolahan mereka," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas langkah Kerajaan Perak menganugerahkan 400 hektar tanah kepada sekolah persendirian Cina di negeri itu supaya ia dapat mengusahakan tanah berkenaan dan menggunakan keuntungan yang diperoleh untuk membiayai kos pentadbirannya.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin dipetik sebagai berkata, peruntukan RM30,000 setahun kepada setiap sekolah berkenaan pada masa kini tidak memadai.

Oleh itu, sebagai langkah jangka panjang, kerajaan negeri memutuskan untuk memberi tanah kepada sekolah tersebut yang membolehkan mereka menubuhkan syarikat bagi mengusahakan tanah berkenaan.

Ekoran daripada itu, Pergerakan Pemuda UMNO Perak meminta supaya penganugerahan tanah tersebut tidak mengenepikan kepentingan Melayu dan Islam dalam sebarang keputusan kerajaan negeri.

Ketua Pemudanya, Zainol Fadzi Paharudin berkata, langkah kerajaan negeri itu tidak salah tetapi pada masa yang sama perlu berlaku adil kepada sekolah agama dan pondok.

Mohd. Hilmi yang juga Setiausaha Kehormat Persatuan Darul Ridzuan di Selangor dan Wilayah Persekutuan berkata, GMP akan membuat kajian dan membuat tindakan sewajarnya terhadap perkara tersebut.

Katanya, dalam tempoh baru lima bulan memerintah, kerajaan pembangkang telah melakukan banyak perkara luar biasa untuk kepentingan politik mereka.

''Apa yang akan terjadi dalam tempoh lima tahun akan datang, sudah tentu lebih banyak lagi yang akan dilaksanakan untuk menarik sokongan rakyat daripada masyarakat tersebut," katanya

0 Responses: