TAHNIAH EZAM!
Written by Abang Mahmor
Friday, 30 May 2008 04:18
JADI AHLI SEUMUR HIDUP BUKAN JAMINAN KEKAL DALAM UMNO SAMPAI KIAMAT
Sebaik sahaja sah Ezam Mohd Noor menyertai UMNO menjadi ahli seumur hidup dengan menyertakan not RM100 kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, terbayang akan bagaimana Datuk Seri Anwar Ibrahim mencebek bibirnya dan mungkin menumbuk meja. Mungkin beliau menghamburkan kata-kata kesat depan TV agaknya.
Memang biasalah kalau Presiden PKR, Datin Seri Azizah menyatakan bahawa penyertaaan Ezam tidak menjejaskan PKR kerana sudah lebih dua tahun mereka tidak bersama dalam satu parti. Yang lain-lain pun mengekor dengan kenyataan bahawa Ezam bukan ahli emas PKR. Malah saya percaya tentu yang mengatakan beliau memang tak guna dan eloklah UMNO ambil dia.
Pada dasarnya walau apa pun argument dalam hal ini, Ezam dikenali sebelum ini orang yang tak kurang hebat dalam UMNO. Beliau terheret sama ke parti yang diasaskan oleh Anwar kerana beliau adalah setiausaha politik kepada Anwar ketika Anwar menjawat jawatan timbalan perdana menteri. Tentulah pada ketika itu, siapa pun akan terheret sama tanpa memikir panjang apakah parti yang baru ditubuhkan itu baik atau sebaliknya.
Dalam hidup ini, orang yang bertukar fikiran setelah difikirkan jalan yang diikuti tidak membawa faedah, itulah masanya waktu terbaik untuk dia berpatah balik. Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa Ezam adalah orang yang lahir dari keluarga UMNO. Ayahnya orang kuat UMNO di Puchong, Selangor. Dia dididik dalam suasana UMNO dan pembentukan jiwanya adalah dari UMNO.
Seperti yang dinyatakan, dia sudah berada dalam PKR dari asal dan tahu akan perjuangan PKR tidak menitikberatkan orang Melayu khususnya kerana konsep PKR terbuka untuk semua kaum, maka dilihat perjuangannya tidak menguntungkan orang Melayu yang memerlukan satu parti khusus untuk bangsanya. Ezam mungkin lebih tahu nawaitu pemimpin-pemimpin PKR tidak konsisten dalam menyatakan asas perjuangannya dan sering bercanggah pendapat sesama sendiri. Lebih lagi selepas menyertai pakatannya dengan pembangkang lain telah dilihat lebih mengkucar-kacirkan keadaan, Ezam lebih baik berada di luar parti buat seketika.
Adalah dipercayai Ezam bukan calang-calang orang. Dalam masa beliau ‘bercuti’ tanpa parti, beliau tentunya mengkaji, menyelidik dan menyiasat apa yang berlaku selama ini dan mendapati orang Melayu sudah berpecah-pecah. Sedangkan dia tahu bahawa UMNO adalah serupa dengan kaum lain seperti Cina dan India di negara bertuah ini di mana mereka tetap mempertahankan parti bangsa mereka walau dalam apa keadaan sekali pun.
Memang nyata pakatan UMNO, MCA dan MIC yang mewakil bangsa masing-masing telah berjaya dalam satu bumbung bersama parti-parti komponen lain termasuk dari Sabah dan Sarawak yang juga mewakili kaum masing-masing di bawah satu bumbung Barisan Nasional (BN).
Ezam kemudiannya memilih UMNO semula kerana dia melihat Tun Mahathir dan anaknya Mukhriz pun sudah mula membencii UMNO dalam masa yang sama memusuhi pengasas PKR, Anwar, lebih baik dia berada dalam UMNO untuk bertentang dengan mereka bertiga itu dengan pengalaman dan pengetahuan yang ada dalam dirinya.
Memang betul kata beberapa insan komentar yang tidak kurang mengejek dan menghentam Ezam dengan hujah masing-masing, tetapi pada hakikatnya nama UMNO itu sendiri telah menarik Ezam menyedari bahawa tempatnya bukan dengan parti lain. Kembali ke pangkuan UMNO adalah sama kalau diibaratkan anak yang lari meninggalkan rumah dan dia kembali menemui keluarga asalnya dengan semangat baru dengan ikrar menjadi ahli keluarga UMNO seumur hidup patut disambut dengan kenduri kesyukuran.
Soal jadi ahli seumur hidup ini bukan soal besar. Tun Mahathir pun menjadi ahli seumur hidup. Tapi bila sampai masa dia nak tinggalkan UMNO, dia tinggalkan juga dengan syarat. Dulu dia jadi ayah.
Bila anaknya jadi ayah, dia tidak sanggup jadi anak kepada ayah yang dulunya anak dia. Lebih baiklah anak yang lebih tua dari ayah keluar rumah dan ajak ayah barunya berperang. Sampai sanggup dia beri syarat ketika keluar rumah bahawa ayahnya keluar dari rumah baru dia balik ke rumah. Mana mungkin ayah sekarang nak keluar dari rumah melihat dulu ayahnya kemudian apabila jadi anak, menderhaka pula kepada ayah yang dia sendiri lantik.
Kecoh memang kecoh. Tapi memang sudah itulah nasib UMNO yang terpaksa berdepan dengan karenah bekas-bekas perdana menteri tidak pernah ada yang setuju dengan perdana menteri yang mengambil alih tempatnya. Ini membawa maksud, siapa pun yang jadi perdana menteri kalau bekas perdana menteri masih hidup, memang susah. Ini Tun Mahathir sendiri kena akui.
Alhamdulillah, Ezam sudah kenal yang mana satu ayah sebenar. Pilihan beliau untuk menyertai UMNO semula walaupun ada pihak dalam keluarga UMNO meragui kehadiran semulanya, tetapi terimalah beliau tanpa mempunyai prasangka yang boleh merosakkan keharmonian kerana semua ahli UMNO yang masih setia dengan UMNO tidak sanggup melihat bangsanya tidak berhenti-henti berkocak.
Yang sedang mengocak UMNO di luar itu, biarkanlah dia kocak dan lama manalah kocakannya boleh bertahan kerana tidak ada orang yang boleh menongkat dunia atau hidup selama-lamanya. Bila patah kayu pengacaunya, akan berhentilah dia dari mengocak.
Yang penting sangat dikira pada ketika ini, janganlah ada orang dalam yang diberi kepercayaan mula menjadi petualang. Jangan jadi batu api. Jangan jadi pengkhianat dan bersifat busuk hati terhadap barisan kepimpinan yang ada sekarang. Mereka semua telah dipilih melalui proses pemilihan yang betul. Tidak perlu kita cuba mengeruhkan keadaan dan hendaknya kita sama-samalah jadi pejuang bersama membantu kepimpinan yang ada mengikut protokol biasa.
Matlamat kita bukan untuk menjatuhkan sesiapa, bukan juga untuk menaikkan sesiapa tak tentu pasal. Kita ada peraturan, ada perlembagaan untuk dipatuhi.
Kita juga kena belajar menhormati ketua dalam semua peringkat, tanpa ada perasaan dengki atau cemburu. Kita harus kembali kepada asas resam orang Melayu yang sepatutnya menghormati antara satu sama lain.
Begitu pun keadaannya, sesiapa yang sedang memimpin, baik dari atas sampailah ke paras paling bawah, tunjukkanlah karisma kepimpinan yang cekap, bukan hanya cekap mengkritik orang lain sahaja. Janganlah ahli parlimen nak berlagak macam presiden, naib presiden pun nak berlagak macam presiden, ahli parlimen biasa pun nak berlagak macam presiden hingga lupa lunas-lunas kesopanan dan kesusilaan menurut kandungan Rukun Negara.
Yang ingin masuk semula atau baru mahu menyertai UMNO, silakanlah. Sambutlah kehadiran semula atau menjemput mereka yang merasakan UMNO itu tunjang perjuangan bangsa kita.
Setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan patut diberi kepada Ezam yang boleh menyedarkan ahli UMNO lain yang telah meninggalkan UMNO supaya bertindak menjejaki beliau kembali kepada UMNO untuk kita sama-sama berjuang atas platform kita yang masih bermaruah dan bertenaga untuk mengembalikan kegemilangan keutuhan jiwa, semangat dan cita-cita orang Melayu yang ingin sama-sama maju bersama bangsa lain yang masih memerlukan kepimpinan kita. Tahniah Ezam!
Jun 3, 2008
EZAM: MASUK UMNO
amirrash Jun 3, 2008
Subscribe to:
Post Comments (RSS)
0 Responses:
Post a Comment