Perangai Jelek Pemimpin Pas di Kuala Terengganu
TUHAN telah mengatur segala-galanya. Nasib baik Mohd Abdul Wahid Endut menang dalam pilihan raya 17 Januari lalu. Kalaulah Abdul Wahid kalah banyaklah orang yang jadi duka nestapa kerananya.
Bukan Abdul Wahid seorang akan merasa malu dan wibawanya sebagai Adun Wakaf Mempelem terjejas, tetapi orang lain juga turut sama tercalar dan menanggung risiko malunya. Ini kerana ada orang yang menanti untuk bersorak kalau Pas kalah.
Disebabkan Abdul Wahid membawa kemenangan maka maruahnya dan maruah orang lain juga terselamat. Barang kali Tuhan membela orang-orang yang suci dan ikhlas hati. Orang yang menanti untuk bersorak itu pun akhirnya yang terkena sorakan sendiri!
Sebenarnya pilihan raya kecil Kuala Terengganu banyak menyimpan cerita suka dan duka. Ia terselindung kerana tidak ada sesiapa yang mungkin akan membukakannya. Pas Terengganu sendiri mungkin tidak akan membukanya sampai bila-bila dan kenangan pahit itu ditelan bersama asin air laut Cina selatan itu.
Orang hanya melihat Abdul Wahid tersenyum sambil mengangkat tangan melambaikan penuh keinsafan dan kesyukuran kerana kemenangan, tetapi ramai yang tidak tahu apa yang berlaku sebelum kemenangan itu, sebaik pilihan raya bermula. Kerana Wahid gigih dan tabah maka sukaduka itu pun berlalu begitu saja.
Biarlah di sini saya melukis serba sedikit kedukaan atau apa sebenarnya yang berlaku pada pilihan raya itu yang tercuit pada akal saya. Di sebalik kemenangan itu ada kepelikan yang berlaku kepada Pas, di kalangan pemimpin Pas sendiri.
Bagi Abdul Wahid, sebaik namanya disebut dan parti menaruhkan amanah perjuangan kepadanya, Abdul Wahid dikatakan mengalirkan air mata mengenangkan apa yang ada kepada dirinya. Beliau tidak bersedia dan tidak ada niat pun untuk menjadi calon. Beliau juga dikatakan menolaknya, namun kerana dipaksa oleh parti beliau tidak ada pilih lain untuk melainkan kena memikulnya. Begitulah seorang ahli yang berwala' dan tahu menghormati keputusan ketua rela menanggung dan memikul apa saja. Terima kasih Abdul Wahid.
Menjadi calon bukan senang. Tidak semua orang tergila untuk menjadi calon. Bagi mereka yang tahu mengukur baju di badan sendiri berfikir panjang untuk menerima tanggungjawab ini.
Calon dalam konteks Pas adalah amanah parti untuk menjadi khalifah menjaga agama, bangsa dan negara dan bukan bermain dengan kuasa apabila sudah menang atau setelah memilik jawatan tinggi.
Dua kali Abdul Wahid dikatakan menangis, pertama bila dipaksa jadi calon kedua kerana beliau tidak mempunyai kewangan cukup untuk menempuh pilihan raya itu berhadapan dengan calon BN, Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang terkenal dengan kebangsawanan dan kekayaannya.
Pas Terengganu juga tidak ada wang. Abdul Wahid tahu sangat sebab beliau adalah Bendahari Pas Terengganu. Lagipun kalau ada sedikit sebanyak masakan duit itu perlu dihabiskan kerananya. Namun perjuangan harus diteruskan juga.
Apa lagi perjuangan Pas di mana kemenangan demi kemenangannya sebelum ini pun bukan kerana wang tetapi kerana semangat, komitmen dan pengorban para ahli dan para penyokongnya.
Mungkin Abdul Wahid merasa bersemangat dan duka sedihnya terubat apabila beliau diberi jaminan oleh Pesuruhjaya Pas Terengganu, Mustafa Ali yang mengatakan, jangan risau soal wang kita akan hadapi dengan wang setakat yang kita ada. Mustafa berkata begitu kerana beliau tahu bahawa pilihan raya itu tidak akan mewah dengan wang seperti di Ijok atau Permatang Pauh dan Pengkalan Pasir.
Megenang dan menghayati bicara dan suasan itu dapat dibayangkan betapa perit dan susahnya Abdul Wahid dan Pas Terengganu menghadapi pilihan raya berkenaan. Namun cerita ini tidak diketahui sesiapa kecuali di kalangan pemimpin Pas Terengganu saja, Presiden Abdul Hadi Awang serta timbalannya Nasharudin Mat Isa yang bertindak selaku Pengarah Induk pilihan raya kecil berkenaan.Sepatutnya keadaan itu tidak wujud. Pas sebagai parti Islam seharusnya semua pemimpinnya bersatu dalam saat berhadapan dengan musuh. Tidak ada wang sama-sama cari wang. Lagipun maruah perlawanan itu adalah maruah Pas juga. Sebaliknya di Kuala Tertengganu lain jadinya. Abdul Wahid dan Pas Terengganu macam anak yatim menghadapi pilihan raya berkenaan tanpa kepedulian tinggi oleh segelintir pemimpinnya yang bangga dengan status profesionalisme.Ini semua kerana sikap tidak profesional beberapa kerat pemimpin Pas atasan yang pernah saya golongkan sebagai klon ini. Mereka tidak memberi kerjasama penuh kepada pilihan raya itu. Sebabnya terlalu kecil, iaitu kerana calon fraksi mereka tidak dipilih menjadi calon. Rupa-rupanya di dalam Pas juga ada kroni dan fraksi tersendiri dan sentimen keakuan yang panjang.
Sepanjang sejarah parti Pas yang dalam pemerhatian saya, (40 tahun) suasana begini tidak pernah berlaku. Walaupun sebelum pengumuman calon timbul berbagai kekalutan namun ia terhenti bila nama calon sudah diumumkan. Bahkan sampai ada tumbuk menumpuk kerana berebut calon tetapi mereka berbaik dan salualanabi semula sebaik hari penamaan calon tiba. Semua melupa kesilapan masing-masing dan menumpukan kepada pilihan raya.
Tetapi semangat dan budaya itu nampak tidak berlaku pada pilihan raya keci di Kuala Terengganu. Emosi dan rajuk terbawa-bawa sampai ke sudah. Apakah begini bentuk kepimpinan profesional yang dicanangkan sebagai bakal membawa perubahan?
Misalnya ada pemimpin yang terkenal sebagai pintar dan tahu mencari wang dan berada dalam lubuk wang dengan jawatannya dan dianggap sebagai banker dikatakan tidak menghulurkan bantuan satu sen pun kepada Pas Terengganu. Datang ke Terengganu hanya hanya melabuh senyum ambil gambar dan singgah seperti kereta yang menggunakan kad touch and go saja kemudian lesap. Pemimpin ini juga telah mengunci rapat peti besinya untuk Pas Terengganu menghadapi pilihan raya berkenaan.
Semangatnya juga kontras dengan apa yang ditunjukkan pada dua pilihan raya yang melibatkan calon PKR sebelum ini, di Ijok Selangor dan di Permatang Pauh, Pulau Pinang. Bukan main lagi pemimpin ini membantu dan menyokong demi kemenangan calon PKR. Bukan saja tenaga tetapi wang dihulur dalam beg besar berwarna hitam membantu pilihan raya berkenaan. Nombor Redston yang membawa beg itu masih dalam ingatan saya.
Yang menghairankan kenapa untuk pilihan raya kecil melibat PKR boleh dibantu tetapi tidak dengan Pas? Mungkin pemimpin ini bebas menggunakan wangnya. Namun beliau kena ingat beliau berada di kerusinya sekarang ini bukan kerana orang PKR yang menyokong tetapi kerana orang Pas menyokongnya. Wang 'komisyen' yang dipunggut dari berbagai sumber itu tidak akan hadir kalau bukan kerana kedudukan itu.
Sepanjang kempen pemimpin ini dan golongannya tidak turun berkempen sesungguh hati seperti berlaku di Permatang Pauh. Mereka hanya datang sekadar menunjukkan muka saja tanpa mencemarkan tangan. Berlainan dengan Permatang Pauh semasa Anwar Ibrahim bertanding. Mereka bertumas dan menunggu Permatang Pauh berhari-hari macam menunggu isteri atau ibu nak bersalin. Seorang pemimpin betina Pas (pinjam istilah orang) sanggup masuk ke dalam pasar dan naik pejabat berkempen meraih undi untuk Anwar. Tetapi sebetina ini tidak kelihatan di Kuala Terengganu!
Di malam pengumuman kemenangan Abdul Wahid juga kumpulan ini tidak datang? Boleh dikatakan kemenangan Abdul Wahid itu disambut oleh pemimpin Terengganu saja bersama Presiden dan Timbalan Presiden.
Seolah kemenangan Wahid tidak diikhtiraf oleh golongan ini. Hanya seorang sahaja Naib Presiden hadir manakala yang dua lagi entah menghilangkan diri ke mana. Kenapa jadi begini?
Suka diingatkan kepada golongan ini mereka jangan jadi sombong. Mereka kena ingat giliran mereka suatu hari nanti tetap akan ada. Bagaimana kalau kena giliran mereka, mereka diperlakukan hal yang sama? Saat itu baru mereka menyedari betapa perlunya khidmat seorang bernama kawan atau sahabat.
Tidak tahu apakah pendekatan dan ilmu politik yang digunakan oleh orang-orang ini. Cuma perbuatan dan aksi kumpulan ini mengesahkan tafsiran saya bahawa mereka hanya klon Pas sahaja.
Sebagai klon mereka tidak ada semangat dan daya tahan perjuangan tinggi menurut sunnah Pas.Kerana sebagai klon mereka tidak merasai bagaimana semangat ukhwah dan rasa tanggungjawab sebagai ahli Pas kepada perjuangannya yang berteraskan Islam.
Barang kali adalah elok kalau para muktamir Pas tahun ini memberi ingatan kepada golongan ini supaya mereka sedar diri dan tidak begitu sombong dengan angan-angan mereka. Atau barangkali kalau mereka sudah tidak cocok dengan Pas berhijrah sajalah kepada parti satu lagi, rasanya itu lebih senang dan tidak menyerabutkan.
dipetik dari : www.msomelayu.blogspot.com
www.rencahmalaysia.blogspot.com
Terbaru : Bukti Najib Razak bukan dalang kepada penyelewengan 1MDB.
-
KENYATAAN DATO' SRI NAJIB RAZAK1. Sepanjang saya menjalani hukuman penjara
selama 26 bulan dan susulan pelbagai perkembangan terkini yang signifikan
berkai...
4 weeks ago
0 Responses:
Post a Comment