Mudah Berjanji, Mudah Lagi Memungkirinya
Assalamualaikum dan salam sejahtera para sahabat bloggers,
Sebenarnya tidak molek bagi saya menulis catatan ini kerana ramai yang berpandangan seseorang pemimpin atau kerajaan itu perlu diberi ruang dan peluang yang secukupnya untuk menunjukkan kemampuan memimpin - sekurang-kurangnya selama 100 hari.
Namun saya fikir, pengumuman terbaru oleh YAB Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim perlu diulas kerana ia merupakan satu isu yang serius. Pengumuman kerajaan negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat tidak akan menurunkan cukai pintu di rumah kediaman sebanyak 20% dan cukai premis komersial sebanyak 10% adalah sesuatu yang telah lama saya jangkakan.
Sebenarnya pengurangan ini tidak memberi beban yang berat kepada kerajaan Selangor kerana ia hanya akan mengurangkan pendapatan sejumlah lebih kurang RM 170 juta setahun.
Justeru kita menaruh harapan yang tinggi kepada Tan Sri Khalid Ibrahim yang berimej korporat untuk membuktikan bahawa pentadbirannya dapat menambah pendapatan kerajaan melalui pengalaman beliau.
Alasan bahawa ekonomi tidak mantap tidak dapat diterima kerana kerajaan persekutuan menyatakan secara jelas ekonomi negara dalam keadaan stabil. Malahan keadaan ekonomi sebelum dan selepas pilihan raya tidak banyak berbeza pun.
Justeru saya hairan, apakah sebagai tokoh korporat yang amat berwibawa, beliau merangka manifesto pilihan raya tanpa sebarang kajian teliti atau pun Tan Sri Khalid telah lupa manifestonya sendiri.
Tambah membimbangkan saya mendapat maklumat bahawa YB Ronnie Liew bercadang untuk menaikkan kadar cukai taksiran dan lesen perniagaan. Ini bukan lagi mungkir janji tetapi sudah berpusing 180 darjah, bertentangan dengan janji mereka untuk meraih undi rakyat Selangor semasa pilihan raya lalu.
Saya bimbang suatu hari nanti rakyat Selangor akan menganggap kerajaan Pakatan Rakyat sebagai kerajaan penipu. Yang lebih dahsyat mereka akan memanggil Tan Sri Khalid sebagai Menteri Besar Yang Amat Berbohong.
Saya merasakan akan ada lagi pengumuman janji pilihan raya yang tidak akan dipenuhi dalam waktu terdekat ialah janji untuk memberikan wang saguhati RM 1000 kepada semua anak Selangor yang ditawarkan ke Pusat Pengajian Tinggi, sama ada awam atau swasta. Ini memandangkan dalam masa dua bulan ini surat tawaran akan dikeluarkan dan tiada mekanisme yang telah diumumkan oleh kerajaan negeri untuk pelajar-pelajar tersebut mendapatkan wang yang dijanjikan.
Saya harap Tan Sri Khalid dan YB Dr. Halimah yang menjaga pendidikan dapat mengumumkan mekanisme tersebut supaya pendaftaran dapat dibuat dan wang dapat disalurkan mengikut daerah-daerah.
Saya mewakili rakyat Selangor akan mendesak supaya kerajaan negeri memenuhi janji mereka. Malah saya mengajak rakyat Selangor mengambil tindakan mendesak kerajaan ini mengotakan semua janjinya. Walau apa pun alasan yang diberikan, potongan cukai 20% tersebut mesti dilaksanakan.
Sebagai umat Islam sepatutnya Tan Sri Khalid tidak mungkir janji kerana mungkir janji adalah perbuatan orang munafik dan umat Islam yang munafik tidak layak memimpin. Saya tahu tulisan ini akan menimbulkan rasa marah kepada penyokong Pakatan Rakyat terutamanya penyokong-peyokong Pas dan PKR kerana mereka akan mengiyakan apa sahaja tindakan yang dibuat oleh pemimpin mereka.
Saya juga sedar akan ada rakan-rakan bloggers yang akan menggunakan bahasa-bahasa kesat untuk menghentam saya. Malah akan ada yang memilih untuk mengalihkan isu dengan memfitnah dan membuat tuduhan melulu. Sebagai rakyat Selangor saya bertanggungjawab untuk menyedarkan rakyat Selangor pembohongan yang berlaku dan akan berterusan di masa hadapan.
Saya juga bertanggungjawab untuk memastikan rakyat Selangor mendapat hak mereka termasuklah pendokong Pakatan Rakyat. Jangan rasa bersalah menuntut hak kita walaupun kita menjadi pendokong mereka. Tugas kita adalah memastikan janji-janji dan tawaran dalam manifesto dilaksanakan sepenuhnya. Janganlah habis madu sepah dibuang.
Dipetik dari: www.Drkhir.com
www.rencahmalaysia.blogspot.com
May 8, 2008
Kerajaan Selangor Baru: Lembut gigi dari Lidah, Bila berjanji semuanya indah, Bila diminta tak tertunaikan...
amirrash May 8, 2008
Subscribe to:
Post Comments (RSS)
1 Responses (Leave a Comment):
Saya sangat menyokong pendapat yang di kemukakan oleh saudara. Saya berharap agar semua anak jati selangor segera bangun untuk mendesak agar pimpinan kerajaan selangor agar mengotakan janjinya atau pun setidak-tidaknya memberikan satu tarikh bila ianya akan dilaksanakan. Dendan adanya suatu tarik maka anak-anak selangor ini akan menati dan menunggu sama ada kerajaan selangor adalah keranjan yang membela rakya t atau kerajaan yang menipu rakyat.
Post a Comment