May 21, 2008

Sila baca artikel ini dan artikel di bawah sekali gus!

Pas sedia tubuh kerajaan jika BN tumbang

KUALA LUMPUR 20 Mei - Pas bersedia memimpin negara dengan berpegang kukuh kepada prinsip kontrak sosial sekiranya kerajaan Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi oleh UMNO tumbang.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, pendirian itu berasaskan kepada kontrak sosial yang telah dipersetujui semasa negara ini merdeka bahawa kepimpinan kerajaan perlu diketuai oleh orang Melayu Islam.

Tambahnya, kepimpinan kerajaan juga perlu meneruskan prinsip-prinsip yang digunapakai sekarang iaitu bahasa Melayu dan Islam sebagai agama Rasmi.

''Kesediaan Pas untuk menerajui negara ini kerana parti ini mempunyai banyak pengalaman sejak merdeka di mana pernah menjadi pembangkang secara bersendirian, bergabung dengan parti pembangkang lain dan memerintah beberapa kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad keluar dari UMNO semalam di lobi Parlimen hari ini.

Katanya, Pas akan terus mempertahankan kontrak sosial yang diasaskan semasa negara merdeka, Islam serta bahasa Melayu di samping masalah perpaduan rakyat pelbagai kaum mesti diselesaikan dengan adil dan bukan secara perkauman.

Sementara itu, Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sedia membuka pintu parti itu kepada Dr. Mahathir sekiranya bekas pemimpin utama negara itu berminat.

"Kami amat mengalu-alukan mereka (anggota UMNO)," kata Dr. Wan Azizah yang juga Ketua Pembangkang.

Setiausaha agung PKR, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, beliau menghormati keputusan Dr. Mahathir dan berharap masyarakat Melayu sentiasa bersatu.

"Saya pernah bekerja di bawah beliau (Dr. Mahathir), beliau orang yang saya anggap berkebolehan... saya hormati keupayaan dan kebolehan Dr. Mahathir," katanya kepada pemberita di Shah Alam.

0 Responses: