May 20, 2009

Hindraf, Utahayakumar dan LTTE: Berita antara 2 dunia yang sama


usik-usik:

Baca 2 berita di bawah ini dan lihat. ada persamaan atau tidak? sama2 menggunakan kekerasan untuk mencapai apa yang dihajati. Akhirnya yang dapat ialah kehancuran. adakah ini yang kita mahu? adakah ini matlamat mereka?

Hindraf sudah berani bagi kata dua pada kerajaan…

Bunyinya memang sudah melampau.Pertubuhan haram Hindraf sudah berani bagi kata dua kepada kerajaan berbentuk ugutan.

Ketuanya yang lari tinggal di London P Waythamoorthy dipetik oleh Malaysiakini.com sebagai berkata para penyokong pertubuhan itu akan mengadakan demonstrasi jalanan di seluruh negara jika tidak batalkan arahan agar bekas tahanan ISA P Uthayakumar mengadap lembaga penasihat ISA.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang ditemui Agendadaily sebelum mesyuarat Dewan Tertinggi BN di PWTC petang Isnin untuk mengulas perkembangan ini menegaskan kerajaan tak makan ugutan Hindraf.

Katanya jika Hindraf adakan demonstrasi jalanan tindakan tegas akan diambil.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang diminta mengulasnya dalam sidang akhbar selepas pengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN pula menegaskan tiada siapapun boleh memberi kata dua.

Menurut beliau kerajaan akan menguatkuasakan undang-undang secara berhemah sekiranya mereka menghormati undang-undang.

"Kita sudah membuktikan bahawa kerajaan ini kerajaan yang bertimbang rasa, bukanlah kerajan yang zalim atau yang nak menekan mana-mana pihak,”katanya.


Uthayakumar yang dibebaskan dari ISA baru-baru ini juga berkeras tidak mahu tandatangani surat yang menetapkan syarat-syarat pembebasannya.

Dalam pada itu dia juga telah melanggar peraturan pembebasan bila berhenti berucap di beberapa tempat semasa diiringi oleh konvoi penyokongnya dari Kem Tahanan Kamunting.

Waythamoorthy yang merupakan abang kepada Uthayakumar dipetik sebagai berkata Hindraf akan istihar ‘ perang’ keatas kerajaan pimpinan Datuk seri Najib Tun Razak jika arahan mengadap Lembaga Penasihat ISA itu tidak dibatalkan segera.

Beliau mendakwa arahan keatas Uthayakumar itu tidak sah dan tidak mengikut perlembagaan.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar yang ditemui wartawan juga memberi amaran tindakan sewajaranya akan diambil jika Hindraf menganjurkan perhimpunan.

Menurut beliau langkah sewajarnya juga akan diambil jika Uthayakumar enggan mengadap Lembaga Penasihat ISA.-18/5/2009

dipetik dari : www.agendadaily.com


Gerakan LTTE terkubur bersama impian etnik Tamil

Oleh Jamhariah Jaafar
rencanabh@bharian.com.my

Perjuangan sejak 30 tahun wujud sebuah negara bebas di utara, timur Sri Lanka sia-sia

MISI perjuangan mereka untuk mewujudkan sebuah negara Tamil yang akan dikenali Eelam di utara dan timur Sri Lanka. Namun strategi Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dalam merealisasikan impian itu lebih menjurus kepada keganasan, membuatkan mereka menjadi kumpulan paling digeruni dan dibenci rakyat Sri Lanka dan selatan India.

Kelmarin seluruh dunia memaparkan berita kematian pemimpin tertinggi kumpulan itu, Vellupillai Prabhakaran dan tentera Sri Lanka tidak membuang masa � bukan saja mengumumkan kemenangan besar, bahkan terus memahat batu nisan sebagai tanda berkuburnya Harimau Tamil yang sudah berleluasa sejak 30 tahun lalu.

LTTE bermula dengan perasaan tidak puas hati kumpulan etnik Tamil yang berasa diperlekeh bangsa Sinhalese, yang menjadi penduduk majoriti Sri Lanka. Bagi memastikan suara mereka didengar, LTTE lebih banyak menggunakan taktik ganas, malah Prabhakaran adalah perintis serangan bunuh diri menerusi unit Harimau Hitam yang cukup digeruni.

Kumpulan pemisah ini bukan saja bertanggungjawab ke atas lebih 200 serangan berani mati, mencetus perang saudara mengorbankan lebih 70,000 nyawa, malah turut didakwa terbabit dalam pembunuhan beberapa pemimpin, termasuk bekas Perdana Menteri India, Rajiv Gandhi pada 1991 dan bekas Presiden Sri Lanka, Ranasinghe Premadasa pada 1993.

Mengimbau sejarah, kumpulan etnik Tamil ini menetap di selatan India (kebanyakan di negeri Tamil Nadu) serta Sri Lanka, yang memiliki kira-kira 22 juta penduduk. Di pulau ini, hanya 10 peratus terdiri daripada etnik Tamil yang majoritinya menetap di wilayah utara dan timur.

Dengan berpegang kepada agama Hindu dan bahasa Tamil, mereka terasing daripada 80 peratus penduduk Sri Lanka lain yang majoriti adalah Sinhalese dan pengikut Buddha.

Ketika diperintah dengan nama Ceylon oleh penjajah British, kebanyakan rakyat Sri Lanka menganggap kumpulan minoriti Tamil ini sebagai pengkhianat kerana berpihak kepada penjajah. Sejak mencapai kemerdekaan pada 1948, Sri Lanka diperintah etnik Sinhalese dan mula memberi tekanan kepada kumpulan Tamil.

Konflik antara kedua-dua etnik semakin parah apabila Prabhakaran mengasaskan LTTE pada 5 Mei 1976 dan akhirnya menjadi kumpulan militan paling ganas sehingga mencetus kebimbangan masyarakat antarabangsa.

LTTE dikatakan mempunyai antara 7,000 hingga 15,000 ahli militan bersenjata lengkap, terkenal dengan pengebom bunuh diri. Sejak akhir 1980-an, kumpulan itu melancar banyak serangan bunuh diri dengan sasaran utamanya termasuk kawasan transit, tokong Buddha dan pejabat kerajaan.

Menurut Biro Penyiasatan Persekutuan Amerika (FBI), LTTE mencipta sejenis tali pinggang 'berani mati' dan menjadi kumpulan militan pertama menggunakan wanita dalam serangan mereka. Ada pengikutnya pula memakai kapsul racun sianida di leher bagi membolehkan mereka membunuh diri serta-merta jika tertangkap.

Selain serangan bunuh diri, LTTE turut menggunakan bom biasa, periuk api dan senjata api dengan sasaran ke atas tokoh politik dan orang awam. Keganasan LTTE turut menaikkan kemarahan kumpulan etnik Tamil sendiri kerana ramai yang terpaksa menjadi pelarian.

LTTE awalnya bekerjasama dengan kumpulan militan Tamil lain seperti Barisan Pembebasan Nasional Eelam (ENLF), Pertubuhan Pembebasan Tamil Eelam (Telo), Pertubuhan Revolusi Pelajar Eelam (Eros), Pertubuhan Pembebasan Rakyat Tamil Eelam (Plote) dan Barisan Pembebasan Revolusi Rakyat Eelam (EPRLF).

Namun, perasaan tidak puas dan saling tidak percaya memakan diri, terutama selepas campur tangan tentera India sehingga satu perjanjian damai ditandatangani antara India dan Sri Lanka, tetapi langsung tidak membabitkan kumpulan militan Tamil.

EPRLF mendapat kelebihan daripada perjanjian damai itu dan diberi kuasa autonomi terhad dan seorang calonnya dilantik menjadi ketua pentadbir kepada wilayah utara dan timur yang bergabung, tetapi LTTE menolak perjanjian terbabit kerana tidak setuju dengan calon EPRLF.

Keengganan India menerima calon LTTE, membuatkan kumpulan itu enggan menyerah senjata kepada Pasukan Tentera Pendamai India (IPKF).

Sebaliknya, mereka mewujudkan unit Harimau Hitam, yang bertanggungjawab melancar serangan berani mati dengan sasaran ke atas politik, ekonomi dan tentera Sri Lanka. Perang antara kumpulan militan Tamil Eelam ini semakin sengit dan hasilnya � beberapa kumpulan militan termasuk Telo dan EPRLF ditewaskan, sementara yang lain diserap menyertai LTTE.

Campur tangan India juga tidak popular di kalangan bangsa Sinhalese dan IPKF mengalami kekalahan demi kekalahan, sebelum meninggalkan Sri Lanka pada 1990 selepas didesak Kerajaan Sri Lanka. Bagaimanapun, pertempuran dan serangan bunuh diri berterusan sepanjang 1990-an.

Keadaan tenang sementara selepas kemenangan Chandrika Kumaratunga sebagai presiden, tetapi perang gerila bersambung selepas LTTE menenggelamkan dua kapal tentera laut pada 1995. Melalui beberapa siri operasi, tentera kerajaan mendapat semula Semenanjung Jaffna yang menjadi kubu kuat Tamil, sebelum dirampas semula pada 1998.

LTTE mengubah taktik pada 2001, menggugurkan tuntutan untuk memiliki sebuah negara berasingan, sebaliknya mencukupi sekiranya diberi sebuah wilayah dengan kuasa autonomi.

Kemenangan besar Presiden Rani Wickramasinghe pada 2001, menyaksikan LTTE mengisytihar gencatan senjata dengan Norway bersetuju menjadi pemerhati melalui Misi Pengawasan Sri Lanka.

Enam pusingan rundingan damai antara Kerajaan Sri Lanka dan LTTE berlangsung, tetapi terbantut apabila LTTE menarik diri pada 2003, sebaliknya mencadangkan sebuah Kerajaan Yang Berkuasa Mentadbir Sendiri � cadangan diterima masyarakat antarabangsa, tetapi ditolak Presiden Sri Lanka.

Akibat kegagalan rundingan damai, jurang pemisah antara Kerajaan Sri Lanka dan LTTE semakin parah dan pencabulan perjanjian damai turut berlaku.

Konfrontasi bersenjata berterusan sehingga Januari 2009 apabila Kerajaan Sri Lanka secara rasmi menarik diri daripada rundingan damai terbabit. Bagi menangani kumpulan militan, terutama dalam kempen menangani keganasan selepas tragedi 11 September 2001, Amerika Syarikat turut membantu melatih tentera Sri Lanka.

Kematian Prabhakaran yang dilaporkan ditembak mati bersama anaknya, Charles Anthony dan tiga lagi komander Harimau Tamil, mungkin menandakan berakhirnya perjuangan LTTE. Apa lagi dengan kenyataan Ketua Diplomatik LTTE, Selvarajah Pathmanathan: "Perjuangan ini sudah berakhir dalam keadaan perit. Kami membuat keputusan untuk tidak lagi meledakkan senjata kami."

Perjuangan senjata mungkin sudah berakhir, tetapi apakah impian kumpulan etnik Tamil ini untuk memiliki sebuah negeri atau wilayah sendiri turut berkubur bersama kematian Prabhakaran?

dipetik dari : www.bharian.com.my

0 Responses: