SEPERTI dijangka, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada pilihan raya kecil, 17 Januari depan.
Pemilihan Wan Ahmad Farid, 46, yang juga Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu selama dua penggal dianggap tepat dan mampu membantu BN memperoleh kemenangan sekali gus mengekalkan penguasaan kerusi Parlimen Kuala Terengganu. Pada pilihan raya kecil, calon adalah antara faktor penentu kemenangan sesebuah parti politik.
Berbanding kebiasaan nama calon hanya diumum menjelang hari penamaan calon, BN kali ini membuat perubahan dengan pengumuman awal. Langkah ini, selain memberi peluang kepada calon memperkenalkan diri kepada pengundi turut menyediakan ruang waktu untuk mengatasi sebarang masalah dalaman yang mungkin timbul kesan pemilihan calon itu.
Dalam kes pilihan raya kecil ini, calon bagaimanapun bukan isu besar kerana Wan Ahmad Farid selaku Ketua Umno bahagian, memang sejak dari awal lagi pada senarai teratas. Ia hanya disahkan secara rasmi oleh Datuk Seri Najib Razak kelmarin selepas mendapat restu Perdana Menteri.
Apa yang kita harapkan ialah pengundi di kawasan itu membantu BN meneruskan kecemerlangan Allahyarham Datuk Razali Ismail, penyandang kerusi Parlimen itu sebelum ini dengan mengundi BN pada pilihan raya kecil akan datang. Bagaimanapun, kekalahan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Ladang, Batu Burok dan Wakaf Mempelam, di Kuala Terengganu dan kemenangan tipis Allahyarham Razali Ismail pada Pilihan Raya Umum Mac lalu, perlu dijadikan iktibar BN, sekiranya ingin memastikan kerusi Parlimen Kuala Terengganu terus menjadi milik BN.
Ketika itu, undi pos menyelamatkan maruah BN apabila Razali hanya menang dengan majoriti 628 undi berbanding majoriti 2,023 pada Pilihan Raya Umum Ke-11, 2004. Perpecahan ahli pada peringkat akar umbi disebabkan perasaan "tidak puas hati" pemimpin tertentu kerana tidak terpilih sebagai calon pada pilihan raya umum lalu sehingga berlakunya "peteh keting", adalah hakikat yang perlu diakui kepemimpinan Umno.
Sebelum ini, ada berpendapat kemenangan arwah Razali bukan disebabkan parti, sebaliknya kemenangan atas faktor peribadi. Kini selepas calon BN diumumkan, semua pihak termasuk mereka yang mengharapkan orang tertentu dipilih sebagai calon, melupakan sebarang perselisihan faham dan kembali bersatu.
Semua pihak perlu bekerja sebagai satu pasukan dan mengetepikan kem masing-masing jika ada, untuk kemenangan BN. Kepada petugas dari luar termasuk pemimpin Umno, pastikan mereka berkempen untuk membantu calon BN, bukan untuk menonjol diri menjelang pemilihan dalam parti Mac depan.
www.rencahmalaysia.blogspot.com
Dec 23, 2008
PRK Kuala Terengganu: Wan Ahmad Farid
amirrash Dec 23, 2008
Subscribe to:
Post Comments (RSS)
0 Responses:
Post a Comment