Dec 23, 2008

Menjelang Pilihan raya kecil Kuala Terengganu: Pas dan slogan HUDUD

Hudud hanya slogan: Najib


Pas sengaja bangkit isu menjelang pilihan raya kecil


KUALA LUMPUR: Pas sengaja membangkitkan semula isu pelaksanaan hukum hudud dan qisas untuk dijadikan slogan politik menjelang pilihan raya kecil kerusi Parlimen Kuala Terengganu, bulan depan, kata Datuk Seri Najib Razak.


Sambil menyifatkannya sebagai isu lapuk, Timbalan Perdana Menteri berkata, isu itu sering dibangkitkan setiap kali musim pilihan raya, tetapi sehingga kini tiada apa yang dilakukan Pas untuk melaksanakannya walaupun berpeluang memerintah beberapa negeri."Itu dah lama cerita tu, ini bukan perkara baru. Masa di Kelantan pun dia tidak buat lagi, di Terengganu pun dia tak buat. Jadi setiap kali timbul dijadikan sebagai isu," katanya pada sidang media selepas majlis perjumpaan serta dialog bersama ulama dan umara di Masjid Wilayah Persekutuan di sini, semalam.


Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa kelmarin, yang berjanji parti itu akan tetap melaksanakan hukum hudud dan qisas sebaik saja Pakatan Rakyat mengambil alih kepimpinan negara melalui pilihan raya umum.Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang ditemui pemberita di Kota Bharu pula berkata, Pas sedia berbincang dengan parti dalam Pakatan Rakyat mengenai hukum hudud."Jika mereka tidak mahu menerima, mereka perlu ada alasan kenapa tidak boleh menerimanya," kata Menteri Besar Kelantan itu.


Bagaimanapun, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam sidang akhbar di Pulau Pinang menegaskan parti itu membantah pelaksanaan hukum hudud dan isu berkenaan tidak termasuk dalam manifesto Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum Mac lalu.Mengulas lanjut, Timbalan Perdana Menteri turut mempersoalkan mengapa isu itu tidak diperjuangkan Pas dalam manifestonya pada pilihan raya umum lalu, sebaliknya parti itu memperjuangkan slogan negara kebajikan."Tetapi sekarang nampaknya pemimpin Pas bercakap mengenai pelaksanaan hukum hudud. Ini soal kredibiliti. Mereka menjadikan isu ini sebagai isu politik," katanya.Pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Razali Ismail yang juga Timbalan Menteri Pelajaran. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Januari depan sebagai tarikh penamaan calon dan pengundian pada 17 Januari.


dipetik dari: www.utusan.com.my

www.rencahmalaysia.blogspot.com

0 Responses: