Aug 3, 2010

Bekas ADUN Umno, Pembantu Wanita Mati Ditemba

Sungai Buloh 3 Ogos - Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Datuk Abdul Aziz Mohd Noh dan pembantu peribadi yang dikenali sebagai Siti Norazah, 43, dipercayai mati akibat ditembak menyebabkan kereta yang dipandunya hilang kawalan hingga menyebabkan kemalangan seperti yang dilaporkan.


Abdul Aziz, 64, dikatakan telah ditembak di kepala sehingga menyebabkan kematian.
Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar memaklumkan status kejadian di laman sosialnya, Facebook kira-kira pukul 1.25 petang tadi.
Khalid berkata siasatan awal menunjukkan ada kesan kecederaan di kepala akibat tembakan di kedua-dua kepala mangsa. Tembakan itu dipercayai datang dari dalam kereta yang dinaiki mereka.
Polis turut menjumpai sepucuk pistol di tempat kejadian. Pihaknya juga percaya pistol tersebut adalah kepunyaan Abdul Aziz.
Senjata itu sekarang ini disimpan oleh pihak polis sebagai bahan bukti.
Sebelum itu, pihaknya melaporkan bahawa Abdul Aziz mati akibat kemalangan berdekatan Sungai Buloh, beberapa kilometer selepas kawasan hentian rehat  R&R Sungai Buloh, kira-kira pukul 10 pagi tadi.
Pihaknya memetik laporan Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Abd Rahim Abdullah,yang berkata berdasarkan maklumat awal, kereta yang dipandu mangsa terbabas dan berpusing sehingga menyebabkan kemalangan.
Aziz berkhidmat sebagai ADUN Permatang selama sepenggal sehingga 2008 apabila beliau menewaskan calon KEADILAN, Samry Masri dengan majoriti 4,285 undi.
Bagaimanapun, dalam pilihan raya umum lalu, beliau memberikan laluan kepada Sulaiman Abd Razak daripada Umno.

0 Responses: